KERANA minat mendapat dengan menguasai bahasa Mandarin, Rasyidah Abu Johan, 33, tidak pernah mengambil pusing komen-komen negatif terhadap dirinya yang kini berkerja sebagai pembaca berita dalam bahasa tersebut di TV2.
Sebaliknya, gadis cekal ini terus komited dan berazam untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang tersebut dan membuktikan anak Melayu juga boleh menguasai dengan baik bahasa yang bukan menjadi pertuturan di rumah sehari-hari.
Respons yang baik daripada penonton Berita Mandarin kepadanya menguatkan lagi semangatnya untuk terus maju ke depan.
KAGUM rasanya tatkala melihat kefasihan Rasyidah Abu Johan, 33, membaca berita dalam bahasa Mandarin menerusi slot Berita Mandarin di TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Berketurunan Melayu dan tidak mempunyai darah campuran Cina, wanita ini berjaya membuktikan tiada yang mustahil dicapai dalam hidup jika berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu yang diidamkan.
Siapa sangka, minatnya untuk mempelajari bahasa Mandarin ketika berusia lima tahun menjadi titik tolak terhadap kerjayanya pada hari ini.
Menurut Rasyidah, kesukaran untuk berkomunikasi dengan rakanrakan daripada kaum Cina sewaktu menghadiri kelas piano pada ketika itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk mendalami bahasa tersebut.
“Kedua-dua ibu bapa saya merupakan orang Melayu. Ayah merupakan seorang tentera, manakala ibu seorang guru.
“Ketika berusia lima tahun, saya menghadiri kelas piano yang mana kesemua rakan-rakan adalah daripada kaum Cina. Justeru mereka berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda mereka.
“Pada waktu itu, agak sukar untuk saya berkawan kerana tidak faham apa yang mereka pertuturkan. Daripada situlah, minat itu muncul sehingga saya mengambil keputusan untuk belajar di sekolah aliran Cina daripada peringkat rendah sehingga menengah,” katanya.
Graduan Universiti Tunku Abdul Rahman itu bersyukur apabila dia mampu memanfaatkan ilmu dipelajarinya lebih tiga dekad lalu.
Lebih membanggakan, bakat pembaca berita wanita Melayu pertama yang bersiaran dalam bahasa Mandarin ini semakin menyerlah.
Bercerita lanjut, kata Rasyidah lagi, dia mula bertugas di stesen televisyen tersebut pada 2011 dan ditempatkan di Meja Am Bahasa Malaysia sebagai wartawan.
Bagaimanapun, jelasnya, dia ditukarkan ke Meja Mandarin pada 2014 sebelum ditawarkan menjadi pembaca berita pada tahun 2020 setelah pihak atasan menyedari dia mampu menguasai bahasa berkenaan.

Ujarnya, pertama kali diberi tanggungjawab untuk menggalas peranan tersebut, dia berasa sangat gementar.
“Ini kerana, khuatir jika tidak boleh melakukannya akan merosakkan nama keluarga, stesen televisyen dan nama saya sendiri. Pada waktu itu jugalah banyak perkara negatif bermain di fikiran.
“Tetapi pada masa sama, saya mahu RTM tonjolkan lebih banyak elemen perpaduan seperti orang India membaca berita bahasa Mandarin, orang Melayu akan membaca berita Bahasa Tamil dan sebagainya.
“Saya begitu berharap dapat memulakan langkah ini. Disebabkan itu, saya sentiasa berlatih jika ada masa lapang supaya semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Pada awalnya, Rasyidah akui bimbang jika cara penyampaiannya kurang memuaskan, namun dia bersyukur kerana persembahannya diterima baik oleh penonton.
Jelasnya lagi, cabaran utama yang dihadapinya sebagai pembaca berita bahasa Mandarin adalah dari segi sebutan sesuatu perkataan.
“Bahasa ini agak sukar dan ada banyak perbezaan dari segi sebutan sesuatu perkataan. Dalam kalangan orang Cina sendiri, setiap etnik mempunyai dialek berbeza dan tidak sama seperti bahasa Melayu.
“Walaupun setiap satu perkataan boleh disebut dengan baik, namun bila disambung dengan perkataan yang banyak, susah untuk dikawal supaya semuanya sempurna. Oleh itu, ia memerlukan latihan yang banyak dan tunjuk ajar daripada guru berpengalaman,” terangnya.

Tambahnya, pihak RTM, guru-guru dan rakan sekerja banyak membantu memberi dorongan kepadanya.
Rasyidah terharu mempunyai guru-guru yang sabar dan masih ingin mengajarnya tentang sebutan dan cara penyampaian berita.
“Proses ini tidak semudah seperti dilihat dan banyak lagi perlu saya belajar dan perbaiki.
“Semestinya galakan dan komen membina daripada penonton menjadi dorongan kepada saya untuk memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Di sebalik ramai yang mengagumi kebolehannya, wanita ini bagaimanapun tidak terlepas daripada dikritik netizen.
“Apabila berada dalam profesion yang berhadapan dengan orang ramai, kita mesti bersedia untuk menerima komen positif dan sebaliknya.
“Saya bersyukur kerana kebanyakan orang menerima saya seadanya. Jika ada komen negatif tetapi membina, saya akan catit dalam buku nota dan cuba untuk memperbaikinya,” ujarnya.














