fbpx

Rossi akhirnya umum persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rossi mengadakan sidang media khas sempena GP Styria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi. - Foto oleh MotoGP

STYRIA‎, ‎Austria – Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi mengesahkan bakal bersara secara rasmi daripada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila tamat saingan musim ini.

Pendedahan itu dibuat oleh Rossi yang mewakili pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) pada sidang akhbar Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.

Kata Rossi, janji yang dibuat kepada peminat bahawa pengumuman rasmi mengenai masa depannya akan terjawab selepas berakhir cuti musim panas saingan MotoGP musim ini sudah pun tertunai.

“Saya sudah kata sebelum ini bahawa saya akan mengumumkan mengenai perancangan masa depan saya selepas tamat cuti musim panas baru-baru ini.

“Kini, sukacita untuk saya umumkan keputusan persaraan bakal dilakukan apabila berakhir saingan MotoGP musim ini.

“Secara jujur, ia adalah berita yang sangat sedih apabila mengetahui tahun depan saya tidak akan lagi berlumba di litar sebagai pelumba MotoGP selepas hampir 30 tahun bergelar pelumba kompetitif.

“Namun, saya pasti masih ada sinar buat saya untuk menikmati fasa karier baharu dan berharap segalanya berjalan lancar. Apa yang pasti, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting terhadap perjalanan karier saya sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar tersebut.

Pelumba berusia 42 tahun kelahiran Itali itu sebelum ini telah bergelar juara dunia saingan MotoGP sebanyak tujuh kali selain meraih 89 kemenangan GP sepanjang kariernya.

Difahamkan, Rossi mungkin mahu memberi tumpuan untuk berada di belakang tabir memandangkan pasukan miliknya, Aramco Racing Team VR46 akan bersaing dalam kancah MotoGP musim depan. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI