LONDON – Satu kajian mendapati pesakit Covid-19 berpotensi mengalami penurunan tahap kecerdasan otak sebagai salah satu kesan jangka panjang, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kajian yang dilakukan antara bulan Januari dan Disember tahun lepas itu dijalankan ke atas seramai 81,337 individu untuk memeriksa tahap IQ mereka.
Daripada jumlah itu, seramai 13,000 telah dijangkiti virus Covid-19.
Hasil mendapati, mereka menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan tugasan melibatkan penyelesaian masalah, merancang dan penjelasan berbanding individu yang tidak dijangkiti Covid-19.
Dalam beberapa kes kronik, individu yang perlu menggunakan ventilator merekodkan penurunan sebanyak tujuh mata dalam ujian kecerdasan.
Berdasarkan kajian tersebut, para saintis mencadangkan satu penyebab kepada penurunan kecerdasan adalah kesan berterusan virus terhadap kebolehan individu untuk berfikir secara jelas.
“Hasil kajian ini sejajar dengan laporan Covid berpanjangan, di mana ‘kabus otak’ atau masalah untuk memberi tumpuan dan kesukaran menggunakan perkataan yang betul adalah kebiasaan yang sering berlaku,” kata penulis kajian tersebut. – Agensi