fbpx

10 ahli keluarga Aiman Tino positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELUARGA Aiman Tino berdepan ujian apabila positif Covid-19 sejak lebih seminggu lalu.

PETALING JAYA – “Orang tak kena Covid, mereka tak tahu peritnya. Kita nak telan air liur pun macam telan batu.”

Demikian kata bapa kepada penyanyi Aiman Tino iaitu Yusri Ishak yang memaklumkan 10 anggota keluarga termasuk dirinya dan isteri, Hazelina Mat Jalil disahkan positif Covid-19 sejak 10 hari lalu.

Yusri, bersama isteri dan lima anak mereka iaitu Nurisfasha, 19, Mohd Haikal, 15, Nur Alya Mahsuri, 12, Nurqaseh, 10, dan Nina Izzara, 6, kini menjalani kuarantin di kediaman mereka di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Manakala, anak sulungnya iaitu Nurfara Ain, 27, dan suami, Mohd Zafril, 36, serta anak mereka, Muhammad Adam Zafri yang berusia sebulan lebih kini menjalani kuarantin secara berasing di Bukit Jelutong, Shah Alam.

“Saya tujuh beranak kuarantin di rumah Kuala Kubu Bharu. Esok (5 Ogos) dah habis kuarantin. Saya sekeluarga reda ujian Allah ini dan mengharapkan semuanya kembali seperti sedia kala.

“Simptom kami alami seperti demam, batuk dan sakit tekak. Cuma yang teruk sedikit sekarang isteri sebab dia mengalami asma. Keadaan beransur pulih tapi saya nak ingatkan, Covid-19 bukan benda main-main. Tolong jaga diri semua sebab selagi belum berlaku kepada kalian dan orang tersayang, kalian ingat benda ini tak serius,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Bagaimanapun, Yusri berkata, Aiman tidak dijangkiti memandangkan sudah lama tidak pulang ke rumah dan menetap di Kuala Lumpur.

“Tiga lagi anak saya kuarantin di rumah sebelah dan kami tinggal berasingan kerana mereka negatif. Mereka pakai gelang ‘pink’ sebab mereka kontak rapat tapi esok dah boleh tanggal, Insya-Allah.

“Nak cerita lebih saya tak tahu punca dari mana tapi selepas balik ambil suntikan dos pertama vaksin, saya demam. Bila dah ramai demam dalam rumah ini, kami ambil keputusan buat ujian calitan dan keputusan positif untuk kebanyakan daripada kami.

“Menantu saya yang positif di Shah Alam dah selesai dua dos dan dia memang sihat sahaja. Betullah, kalau nak bebas dari semua ini, dapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Terdahulu, kakak kepada Aiman Tino iaitu penyanyi Fara Hezel memuat naik status dalam Instagram memohon agar semua orang mendoakan keluarganya yang disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI