fbpx
Gambar Hiasan.

Tiada acara Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Buat tahun kedua berturut-turut, tiada acara rasmi Ambang Merdeka pada lewat malam 30 Ogos ini di seluruh negara susulan situasi semasa penularan wabak Covid-19.

Menerusi laman web rasmi Bulan Kebangsaan 2021, www.merdeka360.my yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia, acara itu tidak disenaraikan dalam takwim program, sebaliknya, hanya 15 aktiviti selain lapan acara berbentuk pertandingan disusun urus setia sambutan induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang bulan ini dan bulan depan.

Antara yang sudah dimuktamadkan pihak sekretariat sambutan tersebut ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 pada Sabtu ini, namun lokasi program berkenaan untuk peringkat kebangsaan yang sepatutnya di Terengganu, belum diputuskan lagi.

Pada 7 Julai lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, turut membayangkan berlaku perubahan tempat termasuk lokasi pilihan kedua di Putrajaya sebagaimana pertukaran acara perbarisan Hari Kebangsaan 2021 dijadualkan di Kuala Lumpur ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat itu.

Tahun lalu, Ambang Merdeka dibatalkan berikutan keadaan pandemik Covid-19 ketika itu dan digantikan dengan program Konsert Kita Merdeka 1957-2020 di Angkasapuri Kuala Lumpur bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam keadaan sesak di lokasi tumpuan bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan acara hiburan.

Tema Hari Kebangsaan 2021 masih lagi kekal Malaysia Prihatin seperti tahun lalu dengan sambutan sederhana serta pematuhan protokol kesihatan ketat bagi mengekang kes Covid-19. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

BERITA BERKAITAN