fbpx
Rita Nadira

Rita Nadira takut dikecam netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon dan model Rita Nadira mengakui dirinya sedikit ‘gerun’ dengan keberanian netizen di media sosial dan menyifatkan kelantangan mereka mampu mengubah kehidupan seseorang.

“Ya, ada rasa takut dengan netizen. Buat silap sikit pun boleh viral.

“Namun, sebagai seorang selebriti, melihat kepada situasi semasa, saya tidak meletakkan ke­salahan 100 peratus pada mereka kerana mungkin ada sebab mereka berbuat demikian.

“Mereka juga seorang manusia yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Tambah pelakon berusia 24 tahun itu, dia juga berusaha untuk tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengundang dirinya menjadi mangsa kecaman orang ramai.

“Saya cuba untuk tidak buat silap atau menghindar daripada mempertontonkan kesalahan sendiri kepada umum supaya mereka tidak berkata-kata.

“Saya okey sekiranya mereka kecam saya seorang tetapi jika sudah melibatkan keluarga dan insan tersayang, itu sudah melam­paui batas. Harapnya perkara ini dijauhkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rita yang kini popular dengan watak Mazni dalam drama Ayahanda berharap dirinya tidak terjebak dengan mana-mana kontroversi yang boleh mencalarkan imejnya sebagai pelakon.

“Insya-Allah saya sentiasa berdoa agar Tuhan berikan kekuatan untuk terus hadapi apa sahaja yang mendatang selepas ini.

“Saya juga berharap dapat kekal dalam industri hiburan ini dengan satu pencapaian dan sikap yang baik,” ujarnya yang pernah terkenal dengan watak Melissa menerusi drama Tak Sempurna Mencintaimu bersama Intan Najuwa dan Redza Rosli.

Kosmo! sebelum ini mela­porkan Rita pernah menerima kecaman netizen dalam Instagramnya yang marah dengan wataknya sebagai Melissa iaitu wanita penggoda yang mahu merebut cinta anak tirinya dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu.

POPULAR