fbpx

Mazlan dilantik Naib Canselor UMT berkuat kuasa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan

PUTRAJAYA – Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, 59, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu, berkuat kuasa esok.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar yang menerajui UMT selama enam tahun sejak tahun 2015.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Mazlan berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia.

Menurutnya, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pesisir Topikal) daripada University Of Newcastle, England dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Biologi dan Ekofisiologi Persekitaran Ikan) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom.

Bersesuaian dengan portfolio beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi, Mazlan juga katanya telah menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi.

“Antara lainnya ialah pengiktirafan AKUATROP sebagai HiCOE kedua di UMT, mengetuai projek khas LRGS hasil kerjasama dengan beberapa buah Universiti Awam iaitu ‘Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia’ dan mewujudkan dana khas penyelidikan UMT berjumlah RM3 juta,” katanya.

Noraini berkata, Mazlan turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT dengan matlamat utama mengenal pasti penyelidikan berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan.

“Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020.

“Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata,  dengan visi untuk meneraju UMT sebagai universiti berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama sains marin, beliau percaya Mazlan mampu menggalas tanggunjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT.

Pada masa sama, Noraini turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nor Aieni atas segala jasa bakti beliau. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI