fbpx

Polis kenal pasti penganjur, peserta ‘Keluar dan #Lawan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada peserta himpunan ‘Keluar dan #Lawan' di sekitar Dataran Merdeka' pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan tindakan susulan berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan di Dataran Merdeka di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, menerusi tindakan susulan itu, pihak polis akan mengenal pasti penganjur serta mengambil tindakan terhadap semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu.

“Dianggarkan kira-kira 400 individu terlibat dalam perhimpunan berkenaan jadi kita akan mengenal pasti mereka dan kita ada kaedah untuk berbuat demikian.

“Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa mereka mungkin penganjur yang sama dalam konvoi ‘Bendera Hitam’ pada Sabtu lalu,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, tiada sesiapa pun yang dibenarkan untuk berhimpun atau terlibat dalam perhimpunan walaupun ia merupakan perhimpunan aman sekalipun.

“Pemantauan yang dilakukan mendapati kesemua peserta memakai pelitup muka namun sukar untuk mengatakan bahawa mereka patuhi penjarakan sosial memandangkan sukar untuk menjaga jarak sekiranya kita berhimpun dan berarak sebegitu.

“Walaupun ia merupakan perhimpunan aman bagi maksud sosial, keagamaan dan sukan sekalipun, tidak dibenarkan sama sekali untuk berhimpun di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021,” jelas beliau.

Terdahulu, seramai kira-kira 400 individu mula berkumpul di kawasan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara sejak pukul 10 pagi tadi bagi menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang mendesak agar Perdana Menteri dan seluruh kabinetnya meletak jawatan.

Kumpulan berkenaan dilihat memakai pakaian hitam dengan memegang kain rentang, plakad serta ada di antara mereka yang dilihat memakai topi keselamatan dengan niat untuk berarak ke Dataran Merdeka.

Kumpulan tersebut mula berarak menuju ke Dataran Merdeka kira-kira pukul 11.25 pagi sebelum dihalang oleh pihak polis yang kemudiannya mengarahkan agar mereka beredar pada pukul 12.25 tengah hari.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI