fbpx
Sahul Hamid diiringi anggota polis ke Mahkamah Tinggi di George Town hari ini.

Penjual daging terlepas hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Seorang penjual daging tidak dapat menahan sebak selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

Tertuduh, Sahul Hamid Mohd., 44, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam penghakimannya, Mohd. Radzi berkata, pihak pendakwaan yang memanggil sembilan saksi gagal membuktikan tertuduh terbabit dalam pengedaran dan pemilikan dadah tersebut.

“Pihak pendakwaan gagal mengemukakan seorang saksi material (saksi penting) iaitu pemilik kenderaan MPV jenis Naza Citra yang mengandungi dadah berkenaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kg di Tesco Extra Sembilang, Seberang Jaya dekat sini pukul 3.15 petang pada 8 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati jika sabit kesalahan.

Difahamkan, ketika kejadian Sahul Hamid ditemui berhampiran sebuah kenderaan jenis MPV Naza Citra namun tiada saksi atau rakaman CCTV di lokasi kejadian bagi membuktikan tertuduh memandu dan membawa dadah tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari, manakala Sahul Hamid diwakili peguam, S. Rethinakumar. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929