fbpx

‘Kerat-mengerat’ naratif longlai A Classic Horror Story

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSEP seram yang sudah lazim dan bukan sesuatu bersifat baharu dalam naskhah A Classic Horror Story menjadikan naskhah berkenaan tidak begitu mendebarkan penonton.

JUDUL filem A Classic Horror Story membuatkan penulis terfikir tentang harapan dan ambisi tinggi si pengarahnya, Roberto De Feo dan Paolo Strippoli terhadap naskhah berkenaan.

Judul sedemikian sahaja membuatkan penonton tidak sabar untuk menyaksikan karya ‘one-off’ yang barangkali setanding American Horror Story. Namun jangkaan itu ternyata jauh meleset daripada realiti pelaksanaan filem terbitan produksi Itali berkenaan.

Tiada apa yang klasik mengenai filem berkenaan, melainkan templat plot bertema seram atau filem ‘slasher’ (pembunuhan misteri seram) Inggeris yang bersifat klise.

PUSINGAN plot A Classic Horror Story yang seperti sudah boleh dijangka, sekali gus tidak berjaya menderas adrenalin semasa tontonan.

A Classic Horror Story mengisahkan lima orang kawan yang ingin bercuti di Selatan Itali, namun terlibat dengan sebuah kemalangan. Di situ bermula episod ngeri dan ‘memualkan’ yang penuh dengan percikan darah dan aksi kerat-mengerat.

Apa yang penulis sukakan tentang filem ini adalah sinematografi dan efek bunyinya yang mencapai piawaian bertaraf Hollywood. Apa yang tidak disukai? Semua perihal lain kecuali apa yang disebut itu.

Konsep filem ini memang mempunyai ruang dan peluang untuk berjaya, namun hanya sampai ke proses memancing, bukan terkena umpan. Senang cerita, garapannya entah ke mana.

RUMAH puaka yang meragut kebahagiaan watak utama, Elisa.

Sinematografi, cedok idea

Sayang sekali. Filem yang sudah ‘diteknologikan’ dengan sinematografi cemerlang tidak patut dibazirkan kualitinya disebabkan aspek naratif atau plot penceritaan lemah.

Bukan langsung tiada ‘jumpscare’, namun kebanyakannya tidak kena pada tempat. Seperti makan roti yang tidak yang tidak dimasukkan ke dalam pembakar atau tiada sapuan mentega kacang. Begitu epitominya.

Menonton naskhah berdurasi 95 minit, terbayang beberapa filem ‘slasher’ lain yang mempunyai jalan cerita serupa seperti The Rituals (2017), namun penulis harus terima hakikat, The Rituals berganda cemerlangnya.

Sejujurnya bukan senang untuk menjayakan filem jenis ini kerana sudah banyak yang dikerjakan, namun itu bukan alasan untuk tidak mencapai piawaian.

SATU insiden kemalangan membuatkan beberapa individu terperangkap di sebuah rumah dan di situ bermula kehidupan penuh ngeri.

Penulis percaya, kalau diadun dengan komitmen tinggi dengan menyelinap cemerlang budaya Itali, hasilnya tidak akan mengecewakan seperti karya ini.

Penamat karya yang tidak memperincikan motif sebenar kekejaman yang berlaku juga amat mengecewakan.

Bagaimanapun, penulis agak tersentak ketika adegan Elisa (lakonan Matilda Anna) menarik keluar tangannya yang dipakukan atas kerusi, terkejut juga. Itu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI