fbpx

Menang rumah di Genting Highlands lepas suntik vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kanan, Ngan Choy, Rahmad, Sulaiman dan Muhammad Jailani ketika merasmikan Kempen 'Vax & Win' di Seri Negeri, Melaka, hari ini.

MELAKA – Orang ramai berpeluang memiliki kediaman impian di Genting Highlands dan Melaka bernilai lebih RM400,000 serta hadiah bulanan menarik sehingga RM1 juta dengan menyertai kempen vaksin ‘Vax & Win’ yang dianjurkan NCT Alliance Berhad (NCT Alliance).

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, kempen tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut dalam menggalakkan orang ramai mengambil suntikan vaksin.

Katanya, setiap rakyat Malaysia yang telah mengambil dua dos vaksin Covid-19 dalam tempoh kempen bermula iaitu 1 Ogos sehingga 31 Mac 2022 layak menyertai kempen cabutan bertuah itu.

“Objektif utama kempen ini adalah untuk mengalakkan rakyat negara ini mengambil suntikan vaksin untuk kita bersama-sama mencapai sasaran ‘herd immunity’ (imuniti berkelompok).

“Hadiah ini akan diberikan menerusi cabutan bertuah. Bagi sejuta penyertaan pertama, kita akan memberikan hadiah sebuah rumah di Melaka bernilai RM423,800, manakala cabutan ke dua juta akan membawa pulang kunci unit Grand Ion Majestic di Genting Highlands, Pahang bernilai RM570,000.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen ‘Vax & Win’ yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman.

Tambahnya, pihaknya juga menawarkan sepuluh hadiah bulanan sepanjang tempoh kempen itu berlangsung termasuklah penginapan satu malam di Grand Ion Delemen Hotel, Genting Highlands, Pahang serta pelbagai peralatan rumah dan elektronik.

Mengulas lanjut, Sulaiman memberitahu, NCT Alliance juga menyediakan peruntukkan khas lima cabutan bertuah setiap bulan untuk direbut oleh penduduk Melaka yang mengambil suntikan vaksin.

“Bagi melayakkan diri memenangi hadiah bulanan ini, peserta hanya perlu membuat beberapa langkah mudah iaitu menghantar penyertaan melalui aplikasi Iron by NCT, ‘follow’ akaun Facebook NCTgroupmy atau Instagram di nctgroupmy.

“Kemudian tag tiga rakan dan gunakan tanda pagar #MelakaNCTvaxnwin #NCTvaxnwin #NCTgroupmy #daftarvaksin #lindungdirilindungsemua #MelakaMajuJayaRakyatBahagiaMenggamitDunia,” katanya.

Jelasnya, penyertaan itu akan bermula bermula 1 Ogos sehingga 31 Mac tahun depan dan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Pemenang hadiah utama akan dimaklumkan melalui e-mel atau panggilan telefon pada April 2022, manakala para pemenang hadiah bulanan akan diumumkan di laman media sosial NCT,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI