fbpx

Ikhwan cungkil rahsia artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Bersama Bintang mula bersiaran menerusi platform Facebook sejak 21 Julai lalu.

MENDEPANI realiti yang berlaku akibat pandemik Covid-19 membuatkan sesiapa sahaja terkesan termasuk anak seni. Jika dahulu peluang untuk bekerja sentiasa terbuka, namun kini banyak kekangan dilalui membuatkan sebahagian besar daripada mereka hilang mata pencarian.

Bagi Ikhwan Rosli, 37, apa yang berlaku sepanjang dua tahun ini merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, bukan sahaja dilalui oleh kita tetapi juga masyarakat global yang turut berhadapan situasi sama.

“Ini memang meresahkan apabila melihatkan ramai sahabat kita terjejas. Ada yang sudah lama berdepan kepayahan sebab hilang tawaran pekerjaan dan tak kurang juga yang hilang kerja pada saat genting begini.

“Apa juga situasi yang dilalui, kita perlu reda dan tenang menghadapinya. Kita jangan sesekali putus asa dan perlu terus berusaha untuk meneruskan hidup dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Paling tersentuh apabila melihatkan ramai dalam kalangan orang seni terputus barangan keperluan asas sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ada yang sudah habis wang simpanan dan mahu kembali bekerja demi menyara kehidupan biarpun pandemik masih menular.

IKHWAN mahu Bersama Bintang menjadi ruang perkongsian bermanfaat untuk semua.

Melihatkan apa yang terjadi ketika ini, bekas penyampai Hot FM juga mengambil pelbagai inisiatif demi survival hidup.

“Kita perlu melakukan pelbagai kerja kreatif untuk mencari sumber pendapatan. Pelbagai platform digital telah wujud dan boleh diteroka untuk berniaga, membuat kandungan menarik atau apa sahaja yang boleh menjana pendapatan sampingan.

“Untuk anak seni pula, mereka mungkin boleh mendapatkan nasihat daripada artis yang sudah berjaya.

“ Ramai juga dalam kalangan artis kita yang tidak terjejas memandangkan mereka mempunyai bisnes. Ini yang perlu kita teladani,” katanya yang bakal muncul sebagai pengacara program Bersama Bintang tidak lama lagi.

Tambahnya, program yang disiarkan secara langsung dalam Facebook MTV- Multi Talent Venture tersebut turut mengundang beberapa selebriti popular tanah air yang berkongsi tips dan resipi kejayaan mereka selama ini.

Antara selebriti yang terlibat termasuklah Scha Alyahya, Shuib Sepahtu dan beberapa nama besar yang lain.

Tambah Ikhwan, dia bukan sahaja menemu bual artis-artis terlibat secara santai tetapi dalam masa yang sama mahu mencungkil resipi kejayaan untuk membina bisnes bagi tatapan penonton yang dahagakan ilmu pengetahuan.

TIDAK mahu sekadar menunggu tawaran pekerjaan untuk datang bergolek, Ikhwan cuba menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan sampingan.

Peluang timba ilmu

“Bukan sekadar program hiburan yang biasa-biasa, kita mahu jadikan Bersama Bintang sebuah program luar biasa yang boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat pada bila-bila masa.

“Sebab itu kita gunakan platform Facebook sahaja untuk memudahkan lagi maklumat sampai terus kepada masyarakat.

“Saya yakin ini peluang terbaik kepada kita untuk belajar sesuatu daripada mereka yang telah berjaya sebagai anak seni dan ahli perniagaan.

“Kalau kita mampu melahirkan lebih ramai orang yang berjaya, bukankah itu sesuatu baik?” tambahnya lagi.

Menariknya, penonton bukan sahaja boleh mendapatkan input baharu tetapi dalam masa yang sama berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah semua program berlangsung.

MTV- Multi Talent Venture merupakan gergasi baharu dalam dunia digital tanah air bawah kendalian Fasa Group Holding yang berpangkalan di Johor Bahru.

Bukan sahaja berpengalaman luas dalam bidang perniagaan digital, pencipta kandungan dan program, label berkenaan juga berperanan melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan sebagai bintang masa hadapan.

Untuk bakat baharu yang dicungkil, mereka bukan sahaja diberikan persediaan bergelar anak seni tetapi juga boleh mendapatkan ilmu lain termasuklah sebagai penyedia kandungan digital dan beberapa disiplin lain untuk memperkasakan lagi ‘kekuatan’ masing-masing.

“Sebab itu saya yakin apa yang dilakukan berada di landasan yang tepat untuk semua.

“Setidak-tidaknya dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh tetamu undangan boleh menjadi perkongsian dan panduan untuk kita semua,” tambahnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI