SEBERANG PERAI – Satu sindiket mengedar dadah di negeri ini didapati mengaut keuntungan kira-kira RM700 bagi setiap paun atau kira-kira 453.6 gram (g) dadah jenis heroin yang dijual.
Perkara itu dikesan hasil siasatan selepas polis memberkas enam individu termasuk dua wanita dipercayai anggota satu sindiket menerusi empat serbuan selama empat hari di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah (SPT) berakhir semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, di samping menahan suspek berusia 27 hingga 40 tahun itu, polis turut merampas 4,615 g dadah jenis heroin dan syabu (986 g) bernilai kira-kira RM86,700.
“Dua suspek ditahan di dalam kereta di Juru dan membawa kepada penemuan 4.524 g heroin serta suspek ketika ditahan bersama 228 g syabu di sebuah tempat cuci kereta di Juru.
“Suspek wanita berusia 27 tahun ditahan bersama 758 g syabu di pangsapuri di Simpang Ampat serta suspek terakhir iaitu pasangan suami isteri ditahan di pangsapuri di Butterworth bersama 91 g heroin dan bahan-bahan kimia disyaki untuk membuat heroin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bukit Mertajam di sini hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929