SETIAP mata yang memandang terutamanya ‘sang kumbang’m pasti terpesona melihat raut wajah gadis berusia 22 tahunm itu yang sangat jelita dengan kulit putih mulus.
Susuk bernama Nurul Melissa Izzatie Rosdi itu juga memiliki personaliti menarik dan peramah, sekali gus
membuatkannya mudah mesra dengan sesiapa yang berada di sekelilingnya.
Kelebihan dimiliki oleh gadis berasal dari Puchong, Selangor itu membuatkannya sering mendapat tawaran sebagai model di pentas peragaan beberapa jenama pakaian wanita.
Bagaimanapun, Nurul Melissa Izzatie atau mesra disapa Melissa terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana ingin memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
“Sebelum ini, saya pernah jadi model untuk beberapa jenama pakaian. Saya buat itu secara suka-suka sahaja sebagai mengisi masa lapang sambil mencari duit poket.
“Apabila dapat terlalu banyak tawaran jadi model, saya terpaksa tolak. Saya bimbang tidak dapat
membahagikan masa antara minat dengan pelajaran,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Hasil disiplin yang tinggi, Melissa berjaya melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Drama di Universiti Malaya sejak dua tahun lalu.
Anak sulung daripada dua beradik itu memilih jurusan tersebut disebabkan pengaruh kuat bapanya yang merupakan seorang pengarah drama dan telemovie terkemuka tanah air iaitu Rosdi Md. Dali.
Malah, dia sendiri mempunyai pengalaman menjadi pelakon tambahan sejak kecil dalam beberapa drama tempatan, antaranya Lembayung Kasihmu pada tahun 2016.
“Saya mula berlakon sejak berusia 10 tahun. Semua kerja lakonan ini saya peroleh selepas melalui proses uji bakat.
“Saya tidak pernah guna pengaruh bapa sebagai pengarah untuk mendapat watak-watak berkenaan. Saya memang suka berlakon sejak kecil disebabkan minat dan tidak ada sesiapa paksa,” jelasnya.
Pada masa sama, suara Melissa juga pernah digunakan dalam rancangan animasi tempatan iaitu Aqil Story yang disiarkan menerusi saluran televisyen AlHijrah sekitar tahun 2009.
Suaranya telah digunakan kepada watak utama rancangan tersebut iaitu Aqil yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan seringmmenjadi contoh baik kepada keluargamdan rakannya.
“Walaupun saya seorang perempuan, namun saya boleh membuat suara seperti kanak-kanak lelaki. Dalam animasi ini, saya perlu membaca surah-surah dalam al-Quran.
“Kebetulan, saya mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah agama. Ini membolehkan saya membaca al-Quran dengan baik dan lancar seperti diinginkan oleh penerbit rancangan,” imbaunya.

Selepas itu, Melissa telah mendapat banyak tawaran berlakon, namun terpaksa menolaknya atas nasihat
bapanya supaya dia memberi fokus terhadap pelajaran di universiti.
Bagaimanapun, dia berharap dapat kembali aktif berlakon serta berpeluang memegang watak utama selepas tamat pengajian kelak.
Ketika di kampus, Melissa kembali berjinak-jinak sebagai seorang pembaca puisi selepas dipilih menyertai sebuah kelab puisi terkemuka UM yang dikenali sebagai Padsyah Royal.
“Di sekolah dahulu, saya pernah dilatih untuk membaca puisi serta memenangi beberapa pertandingan
peringkat negeri Selangor. Jadi, apabila melangkah ke universiti, saya ingin kembali aktif.
“Saya ada menyertai beberapa pertandingan puisi seperti Sayembara Deklamasi Puisi Ramadan 2021
Peringkat Antarabangsa pada April lalu dan berjaya meraih tempat ketiga. Saya hanya boleh membaca puisi, namun tidak pandai menulisnya,” ujarnya sambil ketawa.
Mengulas mengenai proses pembelajaran secara dalam talian, Melissa berkata, kediamannya mempunyai masalah capaian internet, sekali gus memberi kesukaran baginya untuk mengikuti kuliah secara online.
Jelasnya, dia terpaksa memandu sejauh 3 kilometer ke rumah neneknya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bagi mendapatkan capaian internet lebih baik.
“Sewaktu PKP 1.0, saya terpaksa mengikuti kuliah menerusi online di rumah. Namun, rumah saya capaian internetnya kurang baik. Jadi, sewaktu PKP 3.0 saya pilih untuk tinggal dalam kolej penginapan.
“Bagi jurusan saya sangat tidak praktikal belajar menerusi secara online kerana kami banyak melibatkan
kerja lapangan seperti membuat video pendek dan sebagainya,” jelasnya.














