JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita dan merampas 34.2 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM2 juta dalam enam serbuan di sekitar daerah ini, Ahad lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas yang bermula 2.40 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama sejumlah rampasan dadah dalam serbuan pertama.
Katanya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin manakala hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Susulan daripada serbuan tersebut, katanya, polis telah berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 34 hingga 61 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.
“Hasil maklumat dan risikan, pihak polis telah membuat beberapa lagi serbuan di sekitar bandar raya ini dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin manakala hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Dengan tertangkapnya sindiket pengedaran dadah ini, polis berjaya mẹmbuat rampasan dadah 32.97 kg serbuk ekstasi, 481 gram pil ekstasi, 300 gram pil eramin 5, 375 gram ketamin dan 114 gram syabu bernilai lebih RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














