fbpx
Atlet Malaysia memasuki Stadium Olimpik di Tokyo ketika acara pembukaan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi. - AFP

Sukan Olimpik 2020 buka tirai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO – Temasya Sukan Olimpik 2020 akhirnya membuka tirai rasmi selepas upacara majlis pembukaan berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Olimpik, Tokyo sebentar tadi.

Kemeriahan upacara itu sekali gus menutup segala potensi pembatalan temasya sukan paling berprestij itu terutama selepas tertangguh setahun daripada tarikh asal.

Hampir AS$1.5 bilion (RM6.33 bilion) diperuntukkan oleh penganjur untuk melakukan renovasi Stadium Olimpik yang boleh memuatkan 70,000 kapasiti, tetapi upacara pembukaan tetap diarahkan tanpa kehadiran penonton ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, seramai 950 tetamu kehormat (VIP) daripada seluruh dunia termasuk 150 dari Jepun dibenarkan hadir ke venue untuk menyaksikan upacara yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Sebanyak 206 kontinjen mengesahkan penyertaan pada temasya sukan terbesar dunia itu dengan Malaysia menghantar 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan.

Upacara kemasukan kontinjen dimulakan dengan negara Greece manakala Malaysia pula menjadi negara ke-177 masuk ke dalam stadium.

Seramai 13 wakil kebangsaan termasuk atlet dan pegawai berarak masuk ke tengah lapangan lengkap berbusana dengan tema Laksamana Hang Tuah dengan tugas pembawa Jalur Gemilang diberikan kepada atlet badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.

Kontinjen Malaysia.

Selain itu, enam lagi atlet yang menghadirkan diri pada upacara pembukaan adalah Pandelela Rinong (Terjun), Nur Dhabitah Sabri (Terjun), Ng Yan Yee (Terjun), Phee Jinq En (Renang), Welson Sim (Renang), Farah Ann Abdul Hadi (Gimnastik).

Warna pakaian kontinjen negara itu diinspirasikan daripada warna Jalur Gemilang dan telah direka oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebagai rekod, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meletakkan petunjuk prestasi semasa (KPI) tersebut dengan menyandarkan pada tiga pingat dengan salah satu daripadanya kilauan pingat emas pada temasa kali ini.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, tiada sebarang sasaran spesifik diletakkan buat kontinjen negara namun Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN