fbpx

Dua pemain Kedah positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan KDA FC menjalani latihan sebagai persiapan untuk bertemu Penang FC sempena aksi Liga Super esok sebelum ditangguhkan MFL. - Foto KDA FC

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan perlawanan Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar esok malam telah ditunda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, keputusan itu terpaksa dilakukan selepas dua pemain skuad Helang Merah telah disahkan positif wabak Covid-19.

Jelasnya, pihak MFL bersetuju menunda perlawanan tersebut selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif Covid-19.

“Ia dikesan menerusi ujian PCR yang dilakukan ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan sebelum memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

“Saya berharap semua tidak leka dan terus mematuhi SOP untuk melindungi diri serta orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19. Liga Malaysia akan kembali bersambung esok dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati,” jelasnya.

Tiga lagi perlawanan Liga Super malam esok berjalan seperti biasa termasuk aksi derby ‘Lembah Klang’ antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dua lagi aksi malam esok melibatkan Terengganu FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Petaling Jaya (PJ) City FC bertemu Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI