fbpx

MAINPP minta penjelasan lanjut isu solat Aidiladha luar surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layat video tular yang memaparkan ratusan individu mengerjakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu.

SEBERANG PERAI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah meminta laporan daripada pengerusi kariah Taman Pelangi, Juru dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung isu tular ratusan jemaah mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan surau itu Selasa lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya yang meneliti kronologi kes mendapati pihak kariah telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Yang Dipertua MAINPP itu, hanya 100 jemaah yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha pada pagi tersebut.

“Pengerusi kariah juga didapati telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan. Pertama pada malam raya dan kali kedua sebelum solat Aidiladha didirikan.

“Penekanan telah pun dibuat oleh pengerusi kariah untuk tidak membenarkan warga asing untuk menunaikan solat pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seperti mana dilaporkan, sejumlah warga asing didapati berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut solat sunat itu yang sedang berlangsung.

“Ini jelas di luar kawalan pihak kariah kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan.

“Semoga insiden ini menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk terus sama-sama mengambil serius di dalam mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan kita bersama,” katanya lagi.

Selasa lalu tular satu video orang awam di laman sosial yang memaparkan ratusan individu didakwa warga asing sedang mengerjakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru.

Polis Pulau Pinang kemudiannya menggerakkan usaha mengesan kira-kira 200 lelaki warga asing yang menyertai acara tersebut yang didakwa berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi sejurus video itu tular.

Semalam, 49 daripada mereka termasuk seorang warga tempatan telah direman di antara tiga dan empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI