SHAH ALAM – Ketua Balai Polis dan tiga anggota yang leka berhibur bersama empat wanita dalam bilik khas di sebuah balai polis dalam daerah Kajang digantung tugas serta-merta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mereka juga ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan kes tersebut selesai.
“Kita tidak akan berkompromi langsung dengan mana-mana pegawai dan anggota yang bertindak melanggar peraturan dan displin.
“Siapa buat (kesalahan), dia tanggung,” tegasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan tembelang seorang ketua balai bersama tiga anggotanya yang berpesta sambil meneguk minuman keras di bilik khas yang dijadikan sebagai ‘pusat disko’ di sebuah balai polis di Kajang, dekat sini terbongkar selepas diserbu pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, petang kelmarin.
Turut ditahan dalam operasi khas kira-kira pukul 3 petang itu ialah empat wanita awam yang berusia 21 hingga 37 tahun.
Menurut Arjunaidi, empat wanita yang ditahan bersama mereka turut disiasat dan diambil tindakan seperti biasa termasuk di bawah kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik Covid-19.
“Empat wanita itu bukan anggota kita dan kita ambil tindakan seperti biasa termasuk di bawah kesalahan SOP dan jika ada berkait dengan air ketum, kita juga akan ambil tindakan.
“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan seperti biasa,” jelasnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929