fbpx

40 rumah di Pasir Puteh rosak dipukul ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Minah Mamat menunjukkan sebahagian atap ruang tamu rumahnya diterbangkan angin di Kampung Hutan Jering, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Sebanyak 40 buah rumah di lima kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan di sini mengalami kerosakan selepas dipukul ribut dan hujan air batu petang semalam.

Kejadian pada pukul 6 petang itu melibatkan Kampung Pangkalan, Kampung Sungai Rasau, Kampung Wakaf Bunut, Kampung Hutan Jering dan Kampung Bukit Gedombak yang menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin manakala beberapa rumah turut rosak selepas ditimpa pokok tumbang.

Seorang mangsa, Siti Minah Mamat, 65, dari Kampung Hutan Jering berkata, dia sempat menyelamatkan diri ke rumah anaknya, Hamizah Hamzah, 39, yang terletak kira-kira 10 meter dari kediamannya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk keluar dari rumah ketika angin bertiup kencang selepas bimbang keselamatan diri apabila keseluruhan rumahnya sudah bergegar.

Katanya, belum sempat menjejak kaki di tangga rumah anaknya, beberapa keping atap zink dari rumahnya jatuh dengan kuat disusuli dengan bunyi kuat ketulan hujan batu.

“Saya sempat melihat kayu alang rumah patah dalam sekelip mata sebelum diterbangkan angin bersama atap zink. Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Selepas kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Mohd. Nazlan Mohamed Hasbullah terus datang ke rumah petang semalam menyampaikan bantuan segera untuk membeli atap zink dan kayu bagi membaiki keseluruhan ruang tamu yang rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Mohd. Nazlan ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya telah menjalankan Siri Ziarah Cakna Mangsa Ribut ke semua mukim yang terlibat bermula petang hingga malam tadi untuk menyampaikan bantuan kecemasan.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI