fbpx

Tindakan undang-undang jika bagi suntikan kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) tidak teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya wujud aktiviti suntikan vaksin kosong seperti didakwa.

CITF menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas petugas terbabit mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, pihaknya memandang berat mengenai beberapa dakwaan suntikan vaksin Covid-19 di PPV yang tular di laman media sosial ketika ini.

“Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

“Orang ramai disarankan melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” katanya.

Katanya, CITF turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan siasatan mengenai perkara ini supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

CITF turut mengesahkan tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah selepas didapati terbabit dengan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, kes itu dikesan pada 17 Julai lalu di PPV pandu lalu berkenaan yang mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

“Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM dan tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi berkenaan,” katanya.

Katanya, terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong masing-masing di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 17 Julai lalu dan di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pada 18 Julai lalu.

Jelasnya, laporan polis sudah dibuat bagi menyiasat dakwaan itu dan sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan kemudian. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI