fbpx
BABY SHIMA

Nak kecam saya, kecamlah – Baby Shima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERCAKAP mengenai si cantik bernama Baby Shima, pasti umum tahu akan populariti yang sedang dituai penyanyi itu di negara seberang, Indonesia.Mula bermastautin di Jakarta, Indonesia hampir separuh dekad, namanya kian meniti dan mekar di bibir peminat negara republik tersebut.

Langkah demi langkah diatur kemas anak kelahiran Masai, Johor itu dalam memastikan bakat seni nyanyiannya kekal diterima. Mengakui menjadi satu cabaran buatnya untuk membahagikan karier secara sama rata antara negara asal dan tempatnya melebarkan sayap, Shima bagaimanapun menyahut semua perkara yang dilalui sebagai hal yang menyeronokkan.

“Ya tipulah kalau tak penat. Malaysia tempat saya membesar dan mencipta nama, Indonesia pula tempat saya melebarkan jenama ‘Baby Shima’.

“Kedua-duanya sama saja bagi saya. Jadi saya perlu adil dan saksama selain bijak membahagikan perjalanan karier saya,” ungkapnya saat memulakan bicara bersama Pose.

Menurut pemilik nama lengkap Nor Ashima Ramli itu lagi, dia bersyukur dengan peluang, kesempatan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya selama ini.

PADA usia yang sedang mekar, Shima bertegas, dia malas untuk mengambil pusing soal jodoh, sebaliknya meletakkan kerjaya sebagai keutamaan masa kini.

Terhenti

Bagaimanapun katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia bermula tahun lalu, termasuk di Indonesia, banyak persembahan yang disusun terpaksa dibatalkan.

Natijahnya, kerjaya seni Shima turut terhenti seketika. Mahu atau tidak, dia terpaksa pulang ke tanah air seperti yang diarahkan pihak berwajib.

“Tidak dinafikan memang karier seni saya terjejas teruk kerana pandemik ini. Apabila diberitahu saya dan pengurus diarahkan balik ke Malaysia, ketika itu fikiran sudah bercelaru.

“Mana tidaknya, ketika nama sedang perlahan-lahan naik dan persembahan nyanyian sudah disusun atur, dengan sekelip mata tiba-tiba semuanya berubah 360 darjah gara-gara ledakan Covid,” katanya.

Tambah anak keempat daripada enam beradik itu, sejak pulang ke tanah air pada Mei tahun lalu, hingga kini dia langsung tidak boleh keluar bekerja.

“Jujur, sejak setahun lalu, saya langsung tidak melakukan sebarang kerja. Bab persembahan memang jauh sekali. Saya hanya sempat merakamkan sebuah single berjudul You Dan Ysukuku bersama Cat Farish tahun lalu.

“Selain itu, saya banyak mengisi masa lapang dengan membuat kandungan video untuk saluran YouTube yang mempunyai 1.5 juta pengikut. Sesekali saya ada juga membuat ulasan produk berbayar untuk jenama-jenama tertentu,” ujarnya.

BAB kritikan, hentaman dan cacian yang diterima dalam media sosial, Shima menyifatkan semua itu sebagai input berguna buatnya untuk lebih positif dalam kehidupan.

Berkongsi lanjut, Shima yang popular menerusi lagu Pura-Pura Bujang itu berkata, walaupun kerjaya nyanyian agak tenggelam timbul, namun rezekinya tetap ada.

Dia baru sahaja selesai merakamkan empat buah lagu hasil kolaborasi dengan penyanyi dan komposer berpengaruh tanah air.

“Insya-Allah semua single ini akan diluncurkan selepas lockdown nanti. Kali ini saya bergabung tenaga bersama Ezra Kong, Apak Harry Khalifah dan Achoi Floor 88.

“Single yang akan dikeluarkan di Indonesia pula mendapat sentuhan Pasha Ungu. Semua single ini tergendala dan terpaksa kita ditunda sebab tak dapat nak jalani penggambaran muzik video,” tuturnya.

Tidak setakat itu, dia juga berterima kasih dan bersyukur kerana dipilih untuk menjadi salah seorang mentor bagi sebuah rancangan terbaru, Fanta6 Stage anjuran platform penyedia muzik terkenal, Joox.

Jelas Shima, Fanta6 Stage merupakan sebuah pertandingan kandungan video pendek pertama dan satu-satunya di Malaysia yang bertujuan mencari bakat baharu dalam kandungan kreatif.

WANITA putih mulus berusia 29 tahun ini bersyukur kembara seninya sejak sedekad lalu kian dihargai, baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

Kecaman, tak matang

Dek kerana terlalu lama ‘dikurung’ dan berada di rumah, Shima mengakui turut menjadikan media sosialnya sebagai platform utama dalam memastikan keberadaan dan kerelevanannya terus disedari.

Cuma kebelakangan ini, dia dikritik teruk dan dikecam netizen gara-gara sering memuat naik kandungan video yang kurang sesuai dan tidak menunjukkan sisi kematangan seorang Baby Shima.

“Ya saya memang aktif dalam TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.

“Sekarang kalau nak buat apa-apa kandungan pun memang sedialah untuk dikritik netizen. Semuanya harus kena di mata mereka.

“Jadi pada saya, apapun hentaman atau kritikan yang dilemparkan, saya ambil benda itu sebagai satu input secara positif selagi mereka tidak menyentuh berkaitan soal peribadi dan keluarga.

“Lagipun saya cuma membuat kandungan yang ada mesej dan menghiburkan.

“Biasanya semua itu akan terlihat pada penghujung cerita. Pada saya, tak mengapalah mereka nak kritik atau kata saya tak matang sekali pun, itu hak mereka,” ujarnya.

BIARPUN karier seninya dikatakan tenggelam timbul, Shima berharap pandemik segera pulih dan dia dapat kembali meneruskan agenda karier yang tertangguh selama ini.

Jodoh, nanti-nantilah!

Tidak keterlaluan jika dikatakan kembara sedekad Shima dalam industri nyanyian hampir ke kemuncak kejayaan dan boleh dibanggakan.

Manakan tidak, dia satu-satunya penyanyi kelahiran Malaysia yang ‘diikat’ menjadi artis naungan syarikat rakaman terbesar Indonesia, Nagaswara hingga saat ini.

Semuanya boleh dikatakan sudah lengkap dan ada bagi seorang wanita muda melainkan perihal jodoh dan peneman hidup.

Akui penyandang trofi bagi kategori Pendatang Baru Dangdut Terpopular, Anugerah Dangdut Indonesia 2017 itu, dia belum ada masa dan ruang untuk memikirkan soal pernikahan.

“Buat masa ini, saya belum berminat dan terfikir untuk lekas-lekas menamatkan zaman bujang.

“Lagipun peluang cuma datang sekali dan inilah masanya untuk saya fokus dalam kerjaya yang saya cintai dan impikan selama ini.

“Bab jodoh atau pasangan hidup, nanti-nanti sajalah. Baru-baru ini pun Nagaswara dah sambung kontrak selama lima tahun dan itu menandakan semakin sibuklah aktiviti seni saya lepas ini,” tuturnya lantas menoktahkan kata-kata.

POPULAR