fbpx
Gambar hiasan.

Pemohon i-Citra intai cincin, subang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kurang se­minggu permohonan pengelua­ran i-Citra bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuka 12 Julai lalu, pe­minat tegar barangan kemas kini dikatakan mula mengintai koleksi terkini secara dalam talian.

Pemerhatian Kosmo! di beberapa laman sosial termasuk WhatsApp, penggemar fanatik hiasan peribadi itu dilihat mula memuat naik status produk barangan kemas sebelum pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos ini.

Rata-rata mereka mempamerkan koleksi barang kemas seperti rantai leher emas padat, rantai tangan dan cincin dengan berat kurang 15 gram yang dikatakan bersesuaian dengan had jumlah pengeluaran sebanyak RM5,000.

Pemohon i-Citra yang juga operator kilang di Bayan Lepas, Nadiah Arshad, 38, berkata, kesanggupan membeli sekurang-kurangnya hanya sebentuk cincin emas jenis daun ketum seberat lapan gram adalah sebagai pelaburan untuk masa depan.

Menurutnya, keputusan tersebut dianggap terbaik buat dirinya ketika penularan pandemik Co­vid-19 dilihat masih mengganas di negara ini.

“Saya nekad akan menggunakan separuh daripada wang i-Citra untuk membeli barangan kemas sebaik sahaja kerajaan membenarkan premis berkenaan beroperasi semula nanti.

“Kita tidak pasti sampai bila harus berada dalam keadaan sebegini meskipun angka jangkitan Covid-19 di negara ini masih berada pada tahap tinggi dan belum lagi menurun,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Siti Azila Ahmad, 41, pula memberitahu, dia juga memutuskan untuk membeli sepasang subang emas seberat lima gram pada harga emas terkini dianggarkan sekitar RM248 segram (setakat semalam).

“Saya juga dimaklumkan yang harga emas dijangka naik lagi sejurus permohonan i-Citra dibuka kepada pencarum KWSP.

“Biarpun bentuk emas itu kecil, namun nilainya tetap berharga dan boleh melonjak tinggi lagi nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader pula meminta pengguna memanfaatkan caruman KWSP untuk simpanan masa depan.

“Caruman KWSP itu simpanan untuk hari tua. Sekiranya tiada keperluan, pengguna tak perlu keluarkan i-Citra untuk pelaburan emas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN