fbpx
Gambar yang dirakamkan menunjukkan beberapa individu membuang kulit durian di Jalan Karak-Pelangai di Bentong dan di Raub.

Pihak buang kulit durian dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG – Untung dikaut, sampah dibuang merata-rata. Itulah yang berlaku di Raub dan Bentong apabila ada peniaga mengambil jalan mudah membuang kulit durian di tepi jalan.

Kulit durian hampir dua tan yang dipercayai dibuang oleh peniaga durian kelihatan bertimbun di tepi Jalan Karak-Pelangai di Bentong dan Jalan Cheroh di Raub berhampiran Tanah Perkuburan Sempam.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, siasatan awal mendapati kira-kira satu tan kulit durian dibuang di Jalan Karak-Pelangai di sini manakala hampir satu tan dibuang dekat Jalan Cheroh, Raub.

“Pada masa ini kita telah berjaya merakam gambar individu yang membuang kulit durian di Raub manakala kita juga mendapat gambar daripada orang awam individu yang membuang kulit durian di Jalan Karak-Pelangai.

“Individu di Raub akan dipanggil manakala kita sedang mengesan individu terbabit yang membuang kulit durian di Jalan Karak-Pelangai dengan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya di sini hari ini.

Menurut Sharudin pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan dan kes itu akan dibawa mahkamah selepas mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepajal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang boleh dikenakan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR