fbpx

Jangan jadi pelakon kalau tak boleh ditegur! – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH AHMAD DAUD

PETALING JAYA – Pelakon terkenal Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra dengan nama Ogy, menyelar barisan pelakon baharu terutamanya bintang media sosial (Influencer) yang terjun dalam dunia lakonan supaya menghormati seni lakonan.

Tegasnya, peluang yang diberikan kepada mereka untuk muncul dalam televisyen sewajarnya digunakan sebaik mungkin, bukannya melakukan kerja sambil lewa.

“Soal mereka (bintang media sosial) menjadi pelakon bagi saya itu adalah rezeki masing-masing. Namun, saya amat berharap mereka tolong faham dan belajar hormati seni lakonan.

“Anda telah diberi peluang untuk muncul dalam televisyen mengapa tidak gunakan peluang tersebut secara serius? Saya akui sesiapa sahaja tidak boleh menjadi pelakon yang hebat dalam masa yang singkat.

“Mereka perlu melalui proses dan menghadiri kelas lakonan. Ini tidak, apabila ditegur terus tersentap (merajuk), maknanya kerja ini (berlakon) bukan untuk anda,” kata Ogy.

Meskipun begitu, akui Ogy yang merupakan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2008, beliau tidak menolak untuk bintang media sosial menjadi pelakon.

“Orang memilih anda (bintang media sosial) untuk menjadi pelakon kerana anda memiliki jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial.

“Saya tidak menolak bintang media sosial untuk menjadi pelakon kerana saya tidak rasa tergugat dengan kemunculan mereka. Saya sudah berada pada tahap yang berbeza.

“Cuma saya ralat dan kecewa apabila mereka memperkotak-katikkan seni lakonan. Itu saya tidak boleh terima,” ujar Ogy.

Jelas Ogy meskipun dilahirkan dalam keluarga seniman, beliau tidak mendapat peluang dan ilmu lakonan dengan mudah.

Sebaliknya, beliau terbang ke Jakarta, Indonesia dan tinggal di sana selama tiga tahun untuk belajar ilmu lakonan di Taman Ismail Marzuki.

“Lakonan bukan sekadar menghafal skrip, tetapi perlu faham dan hadam watak. Jika tidak tahu belajar dan bertanya bukan buat-buat pandai, akhirnya menyusahkan semua orang di set penggambaran,” tutur Ogy yang kini muncul dengan drama rantaian terbaharu berjudul Ayahanda menerusi slot Lestary, TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI