PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka siasatan berhubung penularan klip video bertajuk ‘Malaysian Doctors on Strike/mogok? 1st-12th July 2021 Code Black’ yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dibuat selepas satu laporan polis berhubung penularan klip video itu diterima pihaknya.
“Klip video berdurasi 6 minit 49 saat itu memaparkan rakaman ucapan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr. Han atau Gigi Han Yang yang mempertikaikan skim lantikan tersebut dan menyeru orang ramai agar turut mengambil bahagian.
“Mereka yang ingin mengambil bahagian dalam mogok tersebut diseru agar menukar gambar profil media sosial dengan warna hitam atau monokrom mulai 1 Julai hingga 12 Julai lalu dan menggunakan tanda pagar #SaveMYcontractHCW #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada 12 Julai lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Jalil, tindakan tersebut dinamakan sebagai ‘Code Black’ yang membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital dan bertujuan memberikan sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan sebagaimana mereka yang berstatus tetap.
“Individu tersebut juga mendakwa sistem yang diamalkan oleh kerajaan boleh menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia dan juga perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar,” jelas beliau.
Tambah Abd. Jalil, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ng Guan Seng di talian 03-8886 2222 atau Pusat Kawalan Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145.
Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Prof Datuk Dr. M. Subramaniam semalam memaklumkan bahawa beberapa orang doktor yang menyatakan sokongan pada kempen Code Black telah disiasat oleh pihak polis.
“Kami merasakan bahawa siasatan itu adalah tidak perlu dan berbentuk gangguan kepada kempen soladiriti yang dijalankan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929