fbpx

‘Doktor yang nasihatkan saya tukar vaksin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFA RAZIAH

PETALING JAYA – “Doktor yang sarankan saya tukar vaksin.”

Itu respon pertama penyanyi dan pengacara Ifa Raziah berhubung isu dakwaan dia memohon menukar vaksin jenis Sinovac kepada Pfizer yang dmuat naik dalam Instagram baru-baru ini.

Menjawab persoalan ramai, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 45, memberitahu penukaran vaksin dilakukan atas saranan doktor iaitu petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selepas menjelaskan masalah kesihatannya iaitu alahan kepada ubat-ubatan.

“Pada hari janji temu lalu, saya menjelaskan masalah kesihatan dan senarai ubat-ubatan kepada doktor. Selepas meneliti keadaan saya, doktor itu menasihatkan agar hanya mengambil suntikan vaksin Pfizer berbanding Sinovac bagi mengelakkan alahan teruk.

“Jadi, bukan saya yang memulakan semua ini dan meminta-minta tukar vaksin, ini saranan doktor demi kesihatan saya,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Malah, pada hari tersebut juga, dia turut memohon untuk mendapat suntikan Pfizer pada hari sama namun tidak dibenarkan.

“Doktor tersebut meminta saya membatalkan janji temu Sinovac terlebih dahulu kemudian membuat pendaftaran semula dalam aplikasi MySejahtera.

“Apapun, doktor tersebut telah memberi saya surat untuk dirujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu permohonan bagi mendapatkan suntikan Pfizer,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut menepis dakwaan segelintir netizen yang menuduhnya sebagai ‘artis mengada-ngada’ kerana tidak bersyukur dengan apa yang diperolehi.

“Terkilan juga pada awalnya tetapi mereka tidak tahu perara sebenar. Doktor yang menyarankan pertukaran vaksin atas persetujuan bersama malah saya juga tidak bergaduh dengan petugas di sana, semuanya berlaku dengan cara yang baik.

“Jadi, tiada istilah mengada-ngada kerana ini demi kepentingan kesihatan saya sendiri. Jika suntik Sinovac dan tiba-tiba paru-paru tersumbat atau badan kemerahan siapa nak tanggung?

“Saya tidak boleh puaskan hati semua pihak, biarlah mereka nak cakap apa sahaja. Terima kasih juga kerana bantu tularkan nama saya,” ujar bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama itu.

Sementara itu menerusi sesi siaran langsung bersama MMTV yang dihoskan wartawan Ayda Kamarudin pagi tadi, Ifa sekali lagi menekankan,soal isu terdapat segelintir selebriti yang menolak untuk menerima suntkan vaksin. Kata Ifa, perkara itu hak peribadi, namun dia bukan jenis individu sebegitu.

“Saya bukan nak menghasut atau menyuruh orang tolak vaksin, bukan itu fokus saya.

“Sejujurnya saya juga pernah was-was untuk menerima vaksin tetapi selepas memikirkan kepentingannya, saya ubah fikiran.

“Kita tidak boleh memaksa golongan tersebut untuk terima vaksin dan perlu hormat pandangan mereka cuma elakkan daripada menjadi penghasut. Terpulanglah kepada mereka bagi menentukan baik atau buruk untuk kehidupan sendiri,” katanya lagi.

Kosmo! pada 11 Julai lalu melaporkan Ifa menerusi sebuah video Tik Tok menafikan dakwaan netizen yang menuduhnya membatalkan janji temu vaksinasi saat akhir secara sengaja kerana memilih jenis vaksin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI