fbpx

WHO beri amaran trend campuran vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang rakyat Thailand menerima suntikan Covid-19 di Bangkok baru-baru ini. – EPA

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran terhadap langkah beberapa negara yang ingin membenarkan rakyatnya menerima campuran vaksin Covid-19 yang didakwa mampu menawarkan perlindungan lebih baik, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Pakar-pakar WHO berkata, amaran itu dikeluarkan susulan terdapat data yang amat sedikit mengenai kesan kesihatan daripada suntikan campuran tersebut.

“Trend ini agak berbahaya. Kita tidak mempunyai data dan bukti berkaitan campuran vaksin Covid-19.

“Keadaan akan menjadi huru-hara jika rakyat sesebuah negara diberikan peluang untuk memilih bila dan siapa yang akan menerima dos kedua, ketiga dan keempat,” kata Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan.

Sebelum ini, Thailand membuat pengumuman untuk membenarkan penduduknya mendapatkan campuran suntikan vaksin AstraZeneca dan Sinovac sebagai dos pertama dan kedua bagi membantu mengurangkan kenaikan kadar kes di negara itu.

Selain Thailand, Kanada pada bulan lepas turut memaklumkan penduduknya yang telah menerima vaksin AstraZeneca dalam suntikan pertama boleh menerima sama ada vaksin Pfizer atau Moderna sebagai dos kedua.

“Terdapat bukti baharu yang mencadangkan bahawa tindak balas imun adalah lebih baik apabila seseorang mendapatkan vaksin AstraZeneca dan diikuti dengan vaksin mRNA sebagai dos kedua,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Imunisasi Kanada, Dr. Shelley Deeks pada bulan lepas.

Deeks bagaimanapun memberi jaminan bahawa mereka yang telah menerima satu atau dua dos vaksin AstraZeneca turut menerima perlindungan yang berkesan.

“Sesiapa yang telah menerima dua dos AstraZeneca atau Covishield dijamin telah dilindungi daripada gejala-gejala sakit kronik.

“Tidak perlu mendapatkan dos ketiga buat masa ini,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN