fbpx

Pembersih udara mampu bunuh virus Covid-19 ganti pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembersih udara tersebut perlu dipakai di sekeliling leher seperti kolar baju. – Respiray/Solent News

TALLINN, ESTONIA – Sebuah syarikat dari Estonia menghasilkan alat pembersih udara yang boleh dipakai pada leher dan berupaya membunuh  pelbagai jenis kuman virus termasuk virus Covid-19, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Alat dinamakan Respiray itu perlu dipakai pada bahagian leher seperti kolar baju. Ia bertindak menapis udara yang disedut oleh pemakai dan menyingkirkan sehingga 99 peratus virus serta bakteria.

Peranti menggunakan kuasa bateri itu bertindak membawa masuk udara  tidak ditapis menerusi dua ‘modul pembasmi kuman’ membabitkan  sinaran ultraungu (UV) sebelum membebaskan semula udara bersih kepada pemakainya.

Alat itu dipercayai mampu menggantikan peranan pelitup muka sekali gus memberi peluang kepada pemakai untuk bebas menunjukkan ekspresi wajah mereka secara normal.

Selain itu, Respiray mempunyai tiga kelajuan kipas untuk keadaan persekitaran yang berbeza.

Kelajuan kipas terendah boleh membersihkan udara pada kadar 25 liter (l) seminit, manakala kipas paling laju boleh membersihkan sehingga 55 l seminit.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Respiray, Robert Arus, pandemik Covid-19 telah menjadi pencetus kepada penghasilan alat tersebut. Menurut Arus, syarikatnya berusaha untuk mengawal penularan virus Covid-19 dan virus lain yang membahayakan sistem pernafasan.

“Kami mencipta banyak prototaip, dan pada Ogos tahun lepas, kami berjaya menghasilkan versi prototaip yang paling bagus.

“Daripada keputusan ujian yang dijalankan, kami terkejut kerana hasilnya adalah di luar jangkaan. Jadi, kami sedar bahawa kami telah menemui sesuatu yang besar,” katanya.

Tambah Arus, Respiray merupakan syarikat pertama menghasilkan pembersih udara yang boleh dipakai serta menggunakan teknologi UV-C untuk membasmi virus atau bakteria di udara tanpa menutup wajah pemakai.

“Ia bukan sekadar satu alternatif kepada pelitup muka, malah ia merupakan pembersih udara peribadi untuk kehidupan selepas Covid-19,” ujarnya.

Pembersih udara Respiray dijual pada harga €279 (RM1,387) dan mempunyai berat 980 gram. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN