Di sebalik sikap riang yang dirakam di dalam video, Nur Medina Irine Md. Firdaus, 6, menyimpan kesedihan yang begitu mendalam apabila kehilangan bapa tersayang, Md. Firdaus Rosli, 34, kerana serangan jantung pada Januari lalu.
“Medina sangat rapat dengan ayahnya dan arwah suami suka membawa anak kami itu bersiar-siar selepas pulang bekerja untuk membeli makanan kesukaannya.
“Pada awalnya, Medina tidak faham mengapa ayahnya sudah tiada. Di usia enam tahun masih mentah untuk dia memahami perkara ini tetapi berkat sokongan keluarga, dia dan saya kini kuat untuk menempuh kehilangan ini,” ujar ibunya, Nor Riha Wagimun.
Akui Nor Riha, pembikinan video-video itu menjadi pengubat kesedihan Medina dan pada masa sama membuka pintu rezeki anaknya apabila banyak pihak menawarkan Medina untuk berlakon dan membuat ulasan produk.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
VIDEO si cilik, Nur Medina Irine Md. Firdaus, 6, yang menyanyi lagu PKP PKP Asyik Tambah Tambah Lagi sambil menyolek wajah seorang kanak-kanak perempuan telah mencuit hati ramai orang dengan keletah dan gaya percakapannya yang sangat lucu sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, lagu tersebut yang berkait rapat situasi semasa telah dikongsikan orang ramai sebagai bahan jenaka untuk menghiburkan hati bagi menghilangkan stres ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mekap sebab PKP, bosan kalau tak boleh keluar sini sana, buat penat saja tau, nak ni lagi.. apa lagi.. geram betullah, saya mekap ni ha macam ni.. PKP sambung lagi!
“PKP PKP asyik tambah tambah lagi. MCO satu kali, PKP PKP tiada duit cungkil gigi, mana nak cari duit ni, duduk rumah goyang kaki,” ngomel anak kecil itu disusuli nyanyian bersahaja yang menggeletek hati dalam salah satu videonya.
Menurut ibunya, Nor Riha Wagimun, 33, dia tidak menyangka video yang dimuat naik oleh anak saudaranya, Nur Asmawana Azman, 25, menerusi aplikasi TikTok menjadi tular.
“Video itu hanya dirakam sekadar suka-suka untuk menghilangkan rasa bosan kami ketika PKP dan saya terkejut apabila Nur Asmawana memberitahu ia telah tular dan ditonton ratusan ribu orang di TikTok.
“Rakaman video itu dilakukan secara spontan tanpa sebarang skrip. Apa yang diperkatakan oleh Nur Medina Irine adalah keluar daripada mulutnya sendiri sehingga ada yang berkata dia bercakap seperti orang dewasa,” cerita wanita berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu kepada K2.

Tambah Nor Riha, mereka menerima banyak mesej peribadi bukan sahaja di dalam Malaysia tetapi di luar negara seperti Singapura dan Brunei yang mengatakan sangat terhibur menonton video tersebut serta dapat menghilang stres berkurung di dalam rumah.
Nur Medina Irine atau lebih mesra dipanggil Medina, tidak kekok di hadapan kamera kerana sejak kecil ibunya telah merakam gambar serta videonya yang merupakan anak tunggal.
Jelasnya, dia suka menggayakan Medina dengan berhias cantik bagi rakaman gambar atau video untuk simpanan peribadi sebagai kenang-kenangan pada masa akan datang.

Bermula dari situ, Medina suka bergambar, malah minat bersolek juga tumbuh apabila melihat ibu mengoles solekan pada wajah si kecil itu.
“Sejak usia empat tahun. Medina sudah menunjukkan minat kepada alat solekan dan suka membelek alat solek yang saya pakai. Pada usia itu juga, dia sudah pandai memakai gincu dan mencuba alat solekan lain sehingga pandai bersolek,” tuturnya.
Sehubungan itu, sudah menjadi rutin harian Medina untuk bermain solekan bersama kakak sepupunya iaitu Nurina Arissa Nor Azizi, 7, di samping aktiviti lain seperti menyanyi, bermain pondok-pondok dan masak-masak bagi menghilangkan rasa bosan terpaksa duduk di dalam rumah kerana PKP.
Medina bersama ibu dan sepupunya itu kini tinggal bersama di rumah nenek dan datuk mereka di Jempol.

Oleh itu, Nurina Arissa kerap muncul di dalam video Medina yang ‘menadah’ muka untuk si cilik itu menyoleknya sehinggalah salah satu rakaman menjadi tular.
Mengulas mengenai karakter Medina, Nor Riha memberitahu, anaknya sangat suka meniru gaya orang dan perwatakannya juga berbeza ketika bersama keluarga di rumah dan di luar rumah.
“Medina banyak bercakap dan suka membuat lawak ketika bersama keluarga tetapi dia sangat pemalu dengan orang luar. Cikgu Medina juga terkejut menyaksikan video tersebut kerana di sekolah, dia seorang yang pendiam dan pemalu,” katanya.
Nor Riha memberitahu, ketika merakam video itu, Medina beranggapan ia untuk tatapan ahli keluarga sahaja dan tidak tahu ditonton oleh ramai orang, maka dia beraksi spontan dengan pelbagai keletah lucu.
Di sebalik sikap riang yang dirakam di dalam video, kanak-kanak itu menyimpan kesedihan yang begitu mendalam apabila kehilangan bapa tersayang, Md. Firdaus Rosli, 34, kerana serangan jantung pada Januari lalu.
“Medina sangat rapat dengan ayahnya dan arwah suami suka membawa anak kami itu bersiar-siar selepas pulang bekerja untuk membeli makanan kesukaannya.
“Pada awalnya, Medina tidak faham mengapa ayahnya sudah tiada. Di usia enam tahun masih mentah untuk dia memahami perkara ini tetapi berkat sokongan keluarga, dia dan saya kini kuat untuk menempuh kehilangan ini,” ujarnya.
Akui Nor Riha, pembikinan video-video itu menjadi pengubat kesedihan Medina dan pada masa sama membuka pintu rezeki anaknya apabila banyak pihak menawarkan Medina untuk berlakon dan membuat ulasan produk.

Namun, dia tidak mahu tergesa-gesa menerima sebarang tawaran dan akan membuat perbincangan serta penelitian terlebih dahulu. Dia juga tidak mahu ‘tangkap muat’ produk yang ingin ingin diulas dan akan memastikan benar-benar berkualiti serta selamat digunakan.
Kini, Nor Riha sedang menyusun jadual untuk ulasan produk yang bakal diterima di samping menghasilkan kandungan video lebih baik untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Nur Asmawana berkata, dia sering memuat naik video Medina di Instagram sebelum ini bagi memenuhi permintaan pengikutnya di laman tersebut yang sangat terhibur dengan Medina.
“Sekitar Jun lalu saya cuba pula memuat naik di aplikasi TikTok dan ramai yang menyukainya serta berkongsi video-video tersebut.
“Mereka juga banyak meninggalkan komen-komen positif dan ada yang berdoa agar dikurniakan anak yang bijak seperti Medina,” katanya yang merupakan pegawai khidmat pelanggan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang, Johor.
Nur Asmawana memberitahu, sikap kelakar Medina diwarisi daripada ibunya yang memiliki perwatakan lucu dan disenangi ramai.
Jelasnya lagi, ahli keluarga mereka selalu melayan Medina bercakap membuatkan kanak-kanak tersebut petah berkata-kata.
Dalam pada itu, Medina mengakui sangat suka melakukan pelbagai aktiviti bersama Nurina Arissa seperti bermain solekan, berlakon dan menyanyi.
“Saya suka solek dan akan menyolek muka kakak sambil menyanyi lagu yang didengari daripada TikTok terutama lagu kumpulan BTS, Kucu Kuca serta lagu berkaitan PKP.
“Saya suka melihat video yang dirakam dan mahu menghasilkan banyak lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi polis.
Tambah Medina, dia juga sangat seronok kerana banyak menerima hadiah daripada para peminat dari dalam dan luar negara.














