Kenny Lim yang merupakan Pengarah Eksekutif Befrienders KL berkata, sepanjang pandemik, kebanyakan panggilan diterima berkisar masalah kehilangan pekerjaan, punca pendapatan terjejas akibat perniagaan, kesunyian akibat terpisah dengan ahli keluarga serta pertelingkahan keluarga akibat tekanan yang timbul kerana kurang ruang sendiri di rumah.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut menerima panggilan daripada individu yang berasa sukar menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah atau pembelajaran atas talian, takut dijangkiti Covid-19 selain takut kesan sampingan vaksin.
“Di Befrienders KL, kami menggunakan pendekatan secara pendengaran aktif yang mana pemanggil diberikan satu ruang selamat untuk meluahkan masalah yang dihadapi tanpa dihakimi,” katanya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
MELIHAT kes-kes bunuh diri yang dilaporkan media hari ini membuatkan Hanim (bukan nama sebenar) 36, bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Bercerita kepada K2, wanita itu berkata, tekanan hidup akibat bebanan kewangan serta hutang peribadi bekas kekasihnya menyebabkan dia mahu mengambil jalan mudah untuk menamatkan riwayat hidupnya.
Bagaimanapun, Hanim bernasib baik kerana hasrat tersebut terkubur selepas dia meluahkan masalah yang dialami kepada keluarga.
Bantuan dan sokongan yang diberikan keluarganya berjaya menyelamatkan Hanim daripada melakukan perbuatan terlarang itu lapan tahun lalu.
“Memang tekanan boleh membuatkan individu menjadi murung dan bertindak membunuh diri kerana mereka terlalu buntu. Dalam situasi pandemik hari ini, ramai dibebani masalah kewangan akibat diberhentikan kerja dan sebagainya, justeru masalah sebegini kembali menghantui masyarakat.
“Apa yang boleh dikatakan, golongan ini memang perlu mendapatkan seseorang sebagai tempat meluah dan berkongsi masalah misalnya ahli keluarga, rakan terdekat atau talian-talian sokongan emosi seperti Befrienders yang terdapat cawangan-cawangannya di seluruh Malaysia,” katanya.

Kisah yang berlaku dalam hidup Hanim itu bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya ia sering terjadi dalam kalangan masyarakat dan tambah membimbangkan sewaktu pandemik Covid-19 ini.
Rata-rata orang mengalami tekanan seperti kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan terjejas, kesunyian dan pelbagai faktor lain.
Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 hingga Mei lalu yang mana secara purata sekurang-kurangnya dua kes dilaporkan setiap hari.
Di peringkat dunia pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu juta kematian bunuh diri pada tahun 2021 bahana pandemik.
Mengakui situasi ini didorong pandemik, Pengarah Publisiti Befrienders Kuala Lumpur (Befrienders KL), Ardy Ayadali berkata, kesulitan-kesulitan dicetuskan pandemik menyebabkan segelintir individu tertekan dan mengambil jalan singkat membunuh diri. Kes-kes dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung.
Berteraskan visi mahu mengurangkan kes bunuh diri di Malaysia, Befrienders yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan sejak tahun 1970 bergerak bersama barisan sukarelawannya bagi membantu individu yang berdepan masalah emosi menerusi talian 24 jam yang boleh dihubungi secara percuma pada bila-bila masa sahaja.
“Biasanya individu menghubungi kami kerana tiga sebab utama iaitu kesihatan mental, masalah perhubungan dan masalah keluarga. Apabila seseorang mengambil keputusan membunuh diri, faktor yang menyebabkan mereka mengambil jalan tersebut jarang sekali disebabkan oleh satu faktor sahaja.
“Kebiasaannya ada banyak faktor yang mendorong mereka bertindak demikian. Kesakitan emosi yang mereka lalui akan mengaburi minda mereka dan apa yang mereka inginkan adalah untuk mengakhiri penderitaan emosi tersebut,” terangnya.
Sejak pandemik, Befrienders KL menerima peningkatan panggilan daripada orang awam sebanyak 45 peratus. Pada tahun 2020, sejumlah 32,710 panggilan telefon diterima, manakala bagi tempoh enam bulan pertama 2021 pula sudah sebanyak 20,575 panggilan direkodkan.

Terangnya lanjut, pada bulan Jun tahun ini sahaja, jumlah panggilan yang diterima adalah 3,724 iaitu angka yang paling tinggi dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Setiap kali menerima panggilan, perkara paling utama yang kami lakukan adalah memberi sokongan emosi kepada mereka. Ini dilakukan dengan mendengar secara aktif, tidak menilai mahupun menghukum, tidak memperlekeh apa jua yang dikatakan dan memberikan sepenuh perhatian kepada segala yang dikongsikan.
“Semua perbualan dirahsiakan dan pemanggil tidak akan didesak untuk memberi nama atau apa-apa maklumat peribadi yang membuatkan mereka tidak selesa,” katanya sambil menegaskan pihaknya mementingkan aspek kerahsiaan setiap pemanggilnya.
Kongsi Ardy, antara tanda-tanda seseorang ingin membunuh diri ialah penarikan diri, perubahan personaliti atau penampilan, tingkah laku berbahaya atau membahayakan diri sendiri dan mengancam untuk membunuh diri.
Begitupun bunuh diri boleh dicegah sepenuhnya. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan secara kolektif oleh segenap lapisan masyarakat meliputi kerajaan, pihak berkuasa, masyarakat dan diri individu itu sendiri.
“Stigma yang kuat dalam masyarakat menyebabkan isu ini sukar dibincangkan. Oleh itu, kesedaran secukupnya perlu dibangkitkan agar masyarakat lebih prihatin dan tidak mudah mengecam apabila kes-kes ini diperkatakan,” katanya.

Sebagai sukarelawan terlatih di Befrienders KL sejak 22 tahun lalu, Kenny Lim yang juga kini merupakan pengarah eksekutif berkata, sepanjang pandemik, kebanyakan panggilan diterima berkisar masalah kehilangan pekerjaan, punca pendapatan terjejas akibat perniagaan, kesunyian akibat terpisah dengan ahli keluarga serta pertelingkahan keluarga akibat tekanan yang timbul kerana kurang ruang sendiri di rumah.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut menerima panggilan daripada individu yang berasa sukar menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah atau pembelajaran atas talian, takut dijangkiti Covid-19 selain takut kesan sampingan vaksin.
“Di Befrienders KL, kami menggunakan pendekatan secara pendengaran aktif yang mana pemanggil diberikan satu ruang selamat untuk meluahkan masalah yang dihadapi tanpa dihakimi.
“Sepanjang sesi luahan itu, pemanggil tidak diberikan sebarang had masa kerana ia akan membuatkan individu berasa lega memikirkan ada yang masih mengambil berat untuk mendengar,” ujarnya.
Di saat semua individu diuji dengan pandemik semasa, Kenny menjelaskan penting bagi kita semua menjaga kesihatan mental.
“Ketika pandemik, kita tidak akan dapat lari daripada perasaan yang kurang menyenangkan. Carilah seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi perasaan,” ujarnya.














