VENICE, Itali – Menteri-Menteri kewangan negara maju kumpulan 20 (G20) menyatakan sokongan kepada perjanjian bersejarah bagi merombak sistem percukaian yang dilaksanakan ke atas syarikat-syarikat multinasional.
G20 menggesa negara-negara lain yang sebelum ini keberatan supaya turut sama melaksanakan kaedah cukai baharu tersebut.
Perjanjian tersebut sekiranya dimuktamadkan, akan memastikan negara-negara membangun yang kini terjejas akibat pandemik Covid-19 dapat menarik pelaburan antarabangsa dalam usaha memulihkan semula sektor ekonomi.
Kira-kira 132 negara telah menandatangani rangka kerja rombakan cukai antarabangsa itu termasuk melaksanakan kadar cukai korporat minimum 15 peratus yang diperkenalkan awal bulan ini.
Bagaimanapun, sokongan daripada 19 negara ekonomi terbesar dunia itu dan Kesatuan Eropah (EU) akan membantu memastikan perjanjian tersebut menjadi kenyataan selepas rundingan selama bertahun-tahun.
“Kami telah mencapai kata sepakat bersejarah untuk melaksanakan struktur cukai antarabangsa yang lebih stabil dan adil.
“Kami menyokong komponen-komponen merangkumi dua teras struktur cukai tersebut iaitu agihan semula keuntungan yang diperoleh syarikat multinasional dan pelaksanaan cukai minimum global yang efektif,” kata menteri-menteri G20 dalam satu kenyataan bersama selepas rundingan dua hari di Venice yang dihoskan oleh Presiden G20, Itali.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen antara yang hadir dalam pertemuan bersemuka pertama G20 sejak Februari 2020 berkata, momentum kadar cukai antarabangsa baharu itu perlu diteruskan.
“Dunia kini sudah bersedia untuk menamatkan perlumbaan global untuk mengenakan cukai paling minimum kepada syarikat multinasional,” katanya sambil menambah, G20 perlu bergerak pantas untuk memuktamadkan perjanjian itu.
Rombakan itu bertujuan mencegah negara-negara daripada bersaing untuk menawarkan kadar cukai terendah bagi menarik pelaburan yang mendorong syarikat multinasional membayar cukai rendah dan tidak wajar.
Perjanjian akhir dijangka dibentangkan menjelang sidang kemuncak pemimpin G20 di Rom pada Oktober ini dengan harapan rombakan tersebut dapat dilaksanakan menjelang 2023.
Bagaimanapun, tanpa persetujuan semua anggota EU dan negara bukan anggota seperti Hungary dan Estonia, perjanjian itu tidak dapat dimuktamadkan. -Agensi