fbpx

Ikhtiar Misha Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA OMAR

SEBUT sahaja nama Misha Omar, siapa yang tidak mengenali figura cantik bersuara emas kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang ini. Tanyalah siapa sahaja waima dari Perlis hingga Johor termasuk Sabah dan Sarawak, pasti rata-rata daripada mereka kenal siapa itu Misha Omar.

Memberanikan langkah dengan menyahut cabaran menerusi Bintang RTM dua dekad lalu, itulah titik tolak kepada perjalanan karier seninya sampai ke saat ini.

Berdiri setanding dengan penghibur hebat tanah air termasuk, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar berada dalam kelas dan liga tersendiri.

MISHA tekad untuk tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberi peminat hingga ke hari ini.

Berpeluang menemu bual insan berbakat besar dalam seni suara ini waima hanya menerusi panggilan dan pesanan WhatsApp tempoh hari, Misha ceria menjawab satu persatu soalan yang diajukan.
Sama seperti orang lain bahkan rata-rata anak seni tanah air, tiada apa yang boleh dilakukan Misha ketika ini selain hidup terkurung menunggu entah sampai bila Covid-19 akan berlalu.

“Kalau ditanya berkenaan perkembangan terbaharu, tiada apa yang ‘berkembang’ lebih-lebih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hampir dua tahun kita hadap ini.

“Sejak pandemik, boleh kira dengan jari sahaja berapa kali saya bekerja tahun lepas. Banyak benda semua terpaksa ditangguh dan dibatalkan,” katanya membuka bicara bersama Pose.

Misha juga tidak dinafikan pendapatannya sebagai anak seni terkena tempias dan terjejas teruk, namun tetap bersyukur masih dapat meneruskan hidup secara bersederhana.

Menyambung ceritera, pemilik nama lengkap Samihah Omar memberitahu, di sebalik ujian berat yang diturunkan Ilahi ketika ini, tersirat hikmah buat dirinya dan suami.

PELANTUN yang baharu sahaja hadir menerusi single Tanpa Rela itu mengakui perjalanan karier seninya sentiasa dipermudahkan Tuhan hingga ke detik ini.
– SONY MUSIC MALAYSIA

Sedar, ikhtiar

Ujarnya, ketika negara bertali arus dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih tiada hujung pangkal, dia dan suami seakan-akan diberi kekuatan untuk merancang masa depan keluarga dan ruma.

Umum juga sudah maklum, Misha dan suami kini sedang memberikan sepenuh fokus terhadap rawatan bagi menambah bilangan ahli keluarga.

“Benda ni (pandemik) secara tidak langsung menyedarkan kami yang masa berlalu begitu pantas. Jadi secara tidak langsung situasi ini ‘mengheret’ kami berdua untuk ikhtiar bagi menambah ahli keluarga.

“Jadi apa yang boleh dikongsikan, perkembangan terkini selain daripada sudut kerjaya, saya dan suami memang sedang berusaha ke arah itu,” ujarnya.

Katanya, dia sudah memulakan rawatan kesuburan dengan melakukan langkah pertama iaitu membuat ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) bagi menentukan rawatan kesuburan yang sesuai selepas ini.

“Seperti yang semua tahu, usaha saya sedang mencuba untuk mendapatkan ahli keluarga baru sejak tahun lalu lagi.

“Tahun ini lebih serius dan saya sedar pada usia sekarang kena lebih rapi dan fokus persiapannya. Jadi, tiada istilah jemu dan putus asa,

“Justeru daripada situ jugalah saya dan suami kerap bertemu doktor yang juga merupakan kenalan lama untuk mendapatkan bantuan serta nasihat daripadanya,” ujarnya.

Ujar Misha, dia mula memperkenal dan sengaja mengguna pakai tanda pagar #menjejakkhadeja sebagai satu doa dan penguat semangat dalam usaha mendapatkan zuriat kedua nanti.

Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu, sepanjang pandemik melanda, dia juga sedikit tertekan dek perubahan yang banyak berlaku dalam hidupnya.

 

AKUI anak kelahiran Kelantan itu, dia turut terjejas dari segi pendapatan sepanjang pandemik, namun bersyukur rezeki masih berpihak kepadanya.

Tertekan

Ceritanya, walaupun ‘dikurung’ dan tidak boleh keluar bekerja dan membuat persembahan di luar seperti dahulu, dia banyak belajar perkara baharu dan ada ketikanya, sesuatu yang langsung tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Hari demi hari ada sahaja perkara baharu yang saya belajar. Daripada tak tahu dan tak pernah lakukan jadi tahu.

“Sekarang pun bukan jadi isteri dan ibu sepenuh masa sahaja, saya juga macam bidan terjun terpaksa belajar bagaimana untuk menjadi guru dalam membantu anak lelaki sulung belajar dari rumah,” tuturnya.

Mengakhiri detik perbualan, penyandang trofi tempat ketiga dan vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-33 menerusi lagu Sampai Bila itu memberitahu, dia puas dengan kerjaya seni yang dikecapinya hingga kini.

Kata Misha, walaupun dia tahu perjalanannya tidak semudah orang lain, namun dia tetap menadah tangan bersyukur ke hadrat Ilahi.

“Jujur ini satu perjalanan yang adil dan saya bersyukur serta selesa berada hingga ke tahap ini. Kadang-kadang, saya langsung tak percaya sudah jauh sebenarnya perjalanan saya. Cepat sungguh masa berlalu.

“Kalau ditanya apa kepuasan sebenar saya sebagai penyanyi, tak lain tak bukan cuma satu saja iaitu apabila orang suka dan hargai karier saya,” ujarnya yang berterima kasih untuk setiap sokongan semua selama ini.

BUKAN sahaja jadi isteri dan ibu sepenuh masa, Misha kini juga secara tidak langsung menjadi bidan terjun bertindak sebagai guru memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran sebaik-baiknya walaupun dari rumah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI