BAHTERA perkahwinan antara Husin dan Salmah (bukan nama sebenar) menjangkau usia 25 tahun. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga orang anak yang masing-masing telah dewasa.
Anak sulung mereka juga telah berkahwin dua tahun lalu serta dikurniakan seorang cahaya mata.
Ramai menjangkakan perkahwinan dibina Husin sejak sekian lama itu tidak akan terlerai melainkan perpisahan disebabkan kematian memandangkan masing-masing telah menjangkau usia 50-an.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, perkahwinan pasangan itu akhirnya terlerai jua gara-gara kehadiran orang ketiga secara tidak sedar.
Semuanya bermula selepas kehadiran seorang janda dari Pattani, Thailand yang mengusahakan kedai tomyam dan masakan panas di kampung tersebut.
Janda muda anak dua yang dikenali sebagai Siti (bukan nama sebenar) itu berusia sekitar pertengahan 30-an secara kebetulan tinggal berhampiran rumah Husin.
Siti memiliki raut wajah menawan dengan kulit putih gebu, selain mempunyai berperwatakan ramah bagi menarik pelanggan ke kedainya.
Ini membuatkan ramai penduduk kampung terutamanya kaum Adam banyak menghabiskan masa di kedai makan Siti, malah ada yang melepak berjam-jam lamanya.
Rata-rata pelanggan lelaki yang berkunjung ke kedai tersebut sangat berpuas hati dengan layanan diberikan Siti, sekali gus membuatkan mereka berasa selesa minum dan makan di situ, selain ingin mencuba nasib mengorat tuan kedai.
Begitu juga dengan Husin, masanya pada sebelah petang banyak dihabiskan bersama kawan-kawannya di situ.
Menurut Salmah, sejak Siti datang ke kampung itu, ramai lelaki melepak di kedai tomyam tersebut sambil ‘mencuci mata’.

“Biasanya, suami saya pergi ke sawah sebelah pagi, pada petang dan malam ada banyak masa terluang. Jadi, dia selalu makan di sana selepas pulang dari surau,” ujar Salmah ketika ditemu bual baru-baru ini.
Lumrah seorang lelaki, Husin sering mengusik Siti untuk menjadi isteri keduanya kerana kasihankan janda muda itu hidup bersendirian di negara orang.
Pada mulanya, Siti tidak melayan usikan tersebut memandangkan Husin sudah beristeri, selain mempunyai anak yang sudah dewasa dan cucu.
Segalanya berubah selepas Siti sering menceritakan permasalahan kepada Husin, terutamanya berkaitan isu kekurangan wang untuk membuat pusingan modal.
Sebagai seorang petani yang memiliki sawah lebih tiga hektar serta lima mesin padi, Husin tidak ada masalah untuk memberi bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada janda muda itu.
Mungkin daripada situ, jelas Salmah, hubungan kedua-duanya makin mesra dan akhirnya membawa kepada pernikahan mereka di Pattani secara rahsia.
“Mereka kahwin secara rahsia tanpa pengetahuan saya. Husin ada cakap, dia ke negara jiran selama beberapa hari untuk membeli alat ganti mesin padi,” ujarnya.
Rahsia perkahwinan mereka hanya dapat ditutup selama beberapa bulan sebelum terbongkar selepas ada penduduk kampung melihat Husin berada di rumah Siti.
Selepas mendapat khabar berkenaan, Salmah terus mendesak Husin untuk menceritakan hal sebenar sebelum dia membuat aduan kepada imam masjid kerana berdua-duaan dengan Siti.
Akhirnya, Husin menceritakan perkara sebenar kepada Salmah dan menunjukkan sijil perkahwinan dikeluarkan oleh pihak jabatan agama Islam dari selatan Thailand.
“Hati saya berasa luluh apabila mengetahui Husin telah mengahwini Siti.
Disebabkan rasa tertekan, saya telah meminta Husin untuk menceraikan saya kerana enggan hidup bermadu.
“Husin terus melafazkan talak tanpa berfikir panjang atau berasa malu dengan anak-anak yang sudah dewasa. Saya rasa dia gembira hidup baharu bersama Siti,” jelasnya.
Rentetan itu, Husin telah membuat permohonan cerai talak satu terhadap Salmah di mahkamah syariah sebelum hakim mengesahkan lafaz cerai suami dan mengeluarkan perintah perceraian.
Selepas mendengar hujah perceraian, hakim ada menyatakan tindakan Husin berkahwin di selatan Thailand merupakan satu kesalahan dan ia perlu didaftarkan di negara ini.














