fbpx
Kohinoor (kanan) menutup muka dan rakannya Shen Tying ketika keluar dari Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bekas ratu cantik negara mengaku tidak salah tumbuk polis, ambik dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seorang bekas ratu cantik negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.

Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu anggota polis Koperal Sharulafirin Sarmadan dengan bertindak menumbuk penama tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Universiti di sini pukul 3 pagi pada 8 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperutukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 2 petang pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin menawarkan ikat jamin RM5,000 masing-masing bagi setiap pertuduhan itu.

Bagaimanapun peguam, Datin Raj Preet Kaur memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah dengaan alasan perniagaan restoran yang diusahakan tertuduh tidak dapat lagi beroperasi berikutan perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan 6 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakan Kohinoor, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis sama pukul 2.15 petang pada tempat, tarikh sama yang juga memperuntukkan seksyen dan hukuman yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 1 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Semalam Kosmo! Online melaporkan seorang wanita yang juga bekas ratu cantik negara ditahan selepas bertindak merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Raya Persekutuan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, suspek yang berusia 28 tahun turut dikatakan bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan memandu kenderaan tersebut bersama seorang rakan wanita dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR