LONDON – Polis Britain menahan seorang suspek kerana disyaki terlibat dengan kes pembunuhan wanita asal Malaysia yang ditemui mati tanpa kepala di pinggir bandar Devon, akhir bulan lepas, lapor akhbar The Sun semalam.
Suspek yang berumur 36 tahun dari Kilburn, London Utara itu kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut bagi kes pembunuhan Mee Kuen Chong, 67.
Menurut polis, bedah siasat telah dilakukan sebelum ini, namun gagal menemui penyebab jelas kepada punca kematian wanita yang menetap di Wembley itu.
“Buat masa ini, kami sedang menyiasat segala kemungkinan yang berkaitan dengan kematian Kuen Chong terutamanya pergerakannya sebelum kejadian.
“Saya berharap mana-mana individu yang ada melihat mangsa antara 19 Jun hingga 27 Jun lepas sama ada di London atau Devon, yang masih belum memberi maklumat kepada polis, sila tampil memberi maklumat.
“Amat penting untuk polis mendapatkan maklumat penuh mengenai pergerakan Kuen Chong dalam tempoh masa tersebut kerana ia akan membantu kami memahami apa sebenarnya yang terjadi kepadanya,” kata Ketua Detektif, Jim Eastwood.
Mayat Kuen Chong sebelum ini ditemui dalam keadaan tanpa kepala di sebuah kawasan hutan berhampiran sebuah resort popular di Devon dua minggu selepas dia dilaporkan hilang.
Kematiannya pada awalnya disifatkan polis sebagai ‘tidak dapat dijelaskan’.
Kuen Chong yang berasal dari Malaysia telah menetap di London selama lebih 30 tahun. – AGENSI