fbpx

Ismail Sabri jadi TPM, Dafi yakin kemampuan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAFI yakin bapanya, Ismail Sabri mampu tunaikan amanah negara.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Dafi, mengakui terkejut namun bangga sebaik dimaklumkan mengenai pelantikan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkuat kuasa serta merta semalam.

Katanya, sebagai anak yang masih tinggal serumah dengan keluarga, dia melihat kesungguhan bapanya dalam melaksanakan tanggungjawab apabila memberikan sepenuh jiwa rasa terhadap amanah yang tergalas di bahunya.

“Sebenarnya saya terkejut sebab kelmarin kami ada berborak panjang. Kebetulan papa (panggilan untuk Ismail) menjenguk saya di bilik, jadi banyaklah perkara yang kami bualkan sebab sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia agak sibuk berbanding biasa.

“Tapi tiada langsung pun dia sentuh pasal kerjanya. Apabila keluarga maklumkan mengenai berita pelantikannya tadi (petang semalam), tentu saya terkejut. Bukan sebab tak percaya, sebaliknya yakin tanggungjawab besar itu mampu dilaksanakan.

“Kami sekeluarga akan sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjanya dan percaya mandat yang diberikan ini dapat disempurnakan sebab itulah jiwanya sejak dahulu, berbakti kepada semua,” katanya kepada K! Online malam tadi.

DAFI menyifatkan bapanya telah memberikan sepenuh jiwa terhadap politik dan pentadbiran negara dalam masa sama tetap mencuri untuk bersama keluarga.

Ditanya mengenai kesibukan insan yang sangat dihormatinya itu, kata Dafi, bapanya lebih banyak di luar dan hanya dua atau tiga kali saja seminggu dapat berada bersama tetapi rutin sebegitu sudah menjadi biasa buat mereka.

“Sejak dahulu papa terbabit dalam politik membuatkan kami sudah biasa dengan rutinnya. Namun papa juga sangat mementingkan hubungan kekeluargaan kerana sesibuk mana pun, sebulan sekali pasti dia mahu seluruh ahli keluarga berkumpul.

“Paling dia seronok kalau dapat bermain-main dengan cucu. Jika dia ada waktu senggang, walaupun sekejap saja dia akan curi masa melayan lebih 20 ekor kucing kami. Mak saya pula suka selamatkan kucing jalanan, jadi banyak kucing di rumah kami,” kongsinya,

Ditebak perasaan apabila bapanya berdepan komen negatif dalam laman sosial, pemilik nama sebenar Gadaffi, 32, itu mengakui hatinya turut terusik namun memahami sesetengah individu berbuat demikian disebabkan tekanan keadaan.

Dafi juga menegaskan sesiapa saja berhak untuk bersuara malah selain dibesarkan bapa yang berkecimpung dalam politik, kerjayanya dalam dunia hiburan turut menjadikan dirinya tenang tatkala berdepan sebarang kritikan.

“Ada juga sesekali saya terasa, tetapi macam saya cakap, kami sudah biasa berdepan semua ini dan kena letakkan diri seperti mereka. Kita kena faham dalam keadaan sekarang, ramai tertekan jadi mereka luahkan perasaan dengan cara begitu.

“Saya pun tak perlu emosi, itu sudah sebahagian daripada kerjaya papa. Kalau dia ‘cool’ saja, takkan saya pula yang emosi? Itu juga yang membuatkan saya cukup segan dengan keperibadiannya dan semakin menghormatinya,” katanya lagi.

SEBAGAI anak menteri, Dafi tidak mahu beremosi dengan segala kritikan dan kecaman masyarakat terhadap kepimpinan bapanya.

Pada masa sama, Dafi juga dilihat sangat menjaga sensitiviti orang lain terutama dalam berhadapan situasi pandemik Covid-19 yang memberi impak terhadap sosio-ekonomi hingga jarang memuat naik status di laman social.

Ditanya berkenaan perkara itu, katanya tiada yang perlu dikongsi jika hanya menimbulkan rasa kurang selesa kepada sesetengah individu apatah lagi buat masa ini kerja seninya juga tergendala sejak tahun lalu berikutan PKP.

“Sebenarnya saya lebih suka macam ini. Lagipun tiada projek baharu yang dapat diuar-uarkan selepas penerbitan sebuah lagu yang sepatutnya dilancarkan akhir tahun lepas terpaksa ditunda sehingga keadaan kembali pulih.

“Sepatutnya saya juga terbabit dalam penggambaran drama yang diterbitkan Pesona Picture, tetapi projek tersebut ditangguhkan. Jadi rasanya tiada apa yang istimewa yang boleh saya dikongsikan termasuk dalam Instagram,” ulas alumni program realiti Akademi Fantasia itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI