LARUT – Dua lelaki masing-masing mempunyai 29 dan 17 rekod jenayah ditahan polis selepas melakukan kegiatan samun terhadap dua mangsa bulan lalu melibatkan kejadian berasingan di Bukit Bertam dan Gua Petai dekat sini.
Suspek utama berusia 32 tahun yang berasal dari Pulau Pinang mengaku masuk ke daerah ini menggunakan lorong tikus untuk melakukan kegiatan samun bersama rakannya.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Saat berkata, dalam kejadian tersebut kedua-dua mangsa wanita Melayu berusia 48 dan 61 tahun kerugian kira-kira RM7,800 apabila disamun rantai dan gelang emas.
Menurut beliau, modus operandi mereka adalah meronda dalam kawasan kampung menunggang motosikal menyasarkan kedai runcit terpencil dan berpura-pura hendak melakukan pembayaran sebelum menyamun mangsa.
“Mereka ditahan pada 26 Jun lalu serta merampas motosikal jenis Yamaha 125Z yang digunakan. Barang kemas juga ditemui di dua premis pajak gadai di Pulau Pinang.
“Turut ditahan bagi membantu siasatan adalah pembeli barang kemas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kotak makanan dalam Ops Bantu di Selama hari ini.
Hasil soal siasat kata Mohd. Sabri, kedua-dua mereka juga mengaku melakukan kegiatan jenayah sama di beberapa daerah di Pulau Pinang dan Kedah.
“Dua kes di daerah Selama ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua suspek yang masih direman kini diserahkan kepada salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah bagi membantu siasatan membabitkan kes jenayah lain, ” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929