KUCHING – Taktik seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang menyamar sebagai doktor perubatan di sebuah Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di sini terbongkar selepas dia ditahan awal bulan ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek dari Bandar Baru Samariang dekat sini ditahan di PPV Stadium Perpaduan Kuching pada 1 Julai lalu.
“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret semalam dan dia telah mengaku bersalah.
“Bagaimanapun, mahkamah belum memutuskan hukuman bagi pertuduhan itu dan sebutan semula kes adalah pada 18 Julai sementara menunggu laporan sosial tertuduh dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, remaja berkenaan telah menyamar sebagai seorang doktor dan bertugas di PPV Stadium Perpaduan sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, suspek telah memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Shah Hairil, seorang pegawai perubatan yang bekerja di unit Neurologi Hospital Umum Sarawak di bawah pengawasan Dr. Lau, kepada kakitangan lain di PPV terbabit.
Dia kemudian memberitahu mereka bahawa dia mengunjungi pusat itu untuk melihat kes-kes trauma yang melibatkan kesan sampingan berikutan imunisasi (AEFI).
Penyamarannya terbongkar apabila salah seorang sukarelawan lain yang bertugas di PPV itu mengenalinya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929