PETALING JAYA – Seorang ahli kumpulan Facebook Tukang Apa Hari Ini tular di media sosial apabila memuat naik beberapa keping gambar hasil kerjanya ‘bertukang’ liang lahad baru-baru ini.
Secara merendah diri, pemilik akaun bernama MrBoyb Nordin itu berkata, dia tidak pandai bertukang rumah seperti kebanyakan ahli dalam kumpulan berkenaan dan hanya tahu menggali kubur.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah hari ini kerja lebih masa sampai malam. Semoga rohnya dicucuri rahmat ditempatkan bersama orang-orang beriman.
“Al-Fatihah. Salam kenal dari geng Lahad 7 Kampung Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Rata-rata ahli dalam kumpulan tersebut memuji hasil kerja tangannya yang kelihatan kemas pada masa yang sama menjemput rasa keinsafan untuk mengingati detik kematian.
“Selama 31 tahun, Allah pinjamkan nyawa. Ini kali pertama tengok liang lahad sekemas ini. Sudah macam ikat bata dan plaster. Bagi orang mungkin biasa. Tetapi jenis orang teliti lain kemahirannya,” puji Fizzai Zaifiz.
“Kalau buat rumah biasanya orang komen kemas dan selesa. Tetapi hasil tukang kali ini cukup kemas. Tidak berani pula hendak kata selesa,” gurau Hanzo Hattori Sohek.
“Dia tidak pandai tukang untuk buat rumah diduduki, tetapi dia pandai tukang rumah sementara menunggu untuk diadili,” ulas Sunan Musafir.
“Kadang-kadang terfikir liang lahad lepas arwah masuk akhirnya timbus. Tapi bila nampak begini baru faham penggali kubur ikhlas dalam kerjanya dengan hasil kerja iaitu rumah terakhir buat arwah yang begitu cantik,” tulis Azroy Rashid.
“Tukang ini lagi kaya di akhirat kelak,” balas Fairuzz Yusoof. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929