
WAKIL KOSMO! PUTRAJAYA
BANGUNAN Parlimen di Kuala Lumpur yang sunyi selama ini bakal kembali ‘hidup’ dengan kehadiran Ahli Parlimen yang dijadual bersidang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Julai ini.
Apa yang diharapkan ialah kesemua 220 Ahli Parlimen (tidak termasuk Batu Sapi dan Gerik) terus membahaskan mengenai kepentingan rakyat dan strategi kerajaan melawan Covid-19 yang semakin menggila ketika ini.
Pembukaan semula Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan selepas kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan pada 2 Ogos depan.
Sesi Dewan Negara pula dibuat selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan.
Ahli Parlimen seharusnya tidak menjadikan ia alasan kononnya tidak sempat membahaskan banyak perkara dalam tempoh singkat itu tetapi gunakan masa berharga itu untuk fokus kepada apa penting ketika ini. Usah membuang masa.
Gunakan masa itu untuk meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
“Ia juga bagi memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara,” jelas kenyataan itu.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Mat Yazid berkata, Parlimen secara hibrid menjadi pilihan wajar sesuai dengan situasi semasa penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi buat masa ini.
“Kita perlu menerima pandangan bahawa sidang Parlimen secara hibrid adalah proses dan penyesuaian dengan situasi semasa.
“Justeru, peruntukan undang-undang untuk membolehkan persidangan hibrid adalah menjadi keperluan bagi mengelak sebarang masalah khususnya berkaitan penggubalan dan kelulusan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr. Ilyas Abdullah berkata, fokus utama persidangan Parlimen harus diberikan kepada usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dan tidak sewajarnya terarah kepada pergelutan politik.
Beliau berkata, Parlimen seharusnya dijadikan medan terbaik mencari penyelesaian kepada krisis kesihatan kerana isu itu merupakan isu bersama seluruh lapisan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan lagi.
Katanya, selain itu, tumpuan juga harus diberikan kepada memperincikan kewangan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan ketika tempoh Proklamasi Darurat.
“Hal ini bagi memastikan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sampai kepada golongan sasar selain mengelakkan ketirisan.
“Justeru dua perkara asas ini harus dijadikan fokus persidangan Parlimen,” ujarnya.
Berbicara lanjut, Ilyas berkata, Parlimen juga harus bersidang secara harmoni dan tidak harus membuang masa dengan perbahasan yang tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat serta negara.
“Semua Ahli Parlimen harus berjiwa besar dengan menunjukkan kematangan dalam berpolitik,” ujarnya lagi. -K! ONLINE














