ALOR SETAR – Seramai 30 kakitangan terdiri daripada doktor, jururawat serta pekerja pembersihan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dekat sini disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman bagaimanapun menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di hospital tersebut.
“Dakwaan kononnya hospital itu menjadi lubuk virus juga agak keterlaluan. Memanglah ada beberapa klinik ditutup seperti klinik pesakit luar untuk proses sanitasi tetapi untuk urusan lain seperti bersalin dan khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat masih dibenarkan.
“Cumanya setakat ini kes-kes dari hospital lain tidak akan dirujuk ke HSAH. Kes-kes itu akan dirujuk ke hospital lain antaranya Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial kononnya HSAH berada dalam situasi lockdown dengan PKPD dilaksanakan di situ.
Selain itu, mesej yang tular tersebut turut mendakwa terdapat hingga 100 kakitangan telah disahkan positif di hospital tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929