fbpx
Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di kawasan kuala sungai di Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor kelmarin. FOTO : ZULHANIFA SIDEK

Tinggal syabu, heroin RM2.1 juta atas tebing batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Polis merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai hampir RM2.1 juta yang ditinggalkan dua warga asing di atas tebing batu sekitar kawasan kuala sungai di Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor di sini kelmarin.

Kesemua jenis dadah itu ditemui di kawasan tersebut ketika polis menjalankan pemantauan dan rondaan dalam Ops Tapis pada pukul 4.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, anggota polis melihat dua lelaki dipercayai warga asing bergerak ke tebing sungai sebelum menaiki sebuah bot enjin galah menuju ke arah Tak Bai, Thailand.

Katanya, curiga dengan tindakan mereka, anggota polis telah menghampiri kawasan tersebut sebelum menemui dua bungkusan plastik yang ditinggalkan di atas batu tebing kuala sungai.

“Berdasarkan pemeriksaan, satu bungkus plastik didapati mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 36 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.36 juta ditinggalkan di situ.

“Pemeriksaan terhadap satu lagi bungkusan plastik turut menjumpai dadah jenis heroin seberat 8,400 gram yang bernilai RM780,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Menurut Abdullah, polis terus melakukan intipan selama 15 jam sehingga pukul 8 pagi semalam, namun tiada individu yang hadir untuk mengambil dua bungkusan plastik itu dalam tempoh tersebut.

Ujarnya, berdasarkan siasatan, 80 peratus bekalan dadah itu dipercayai akan dijual di Lembah Klang manakala selebihnya untuk pasaran di negeri ini. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN