fbpx

Basuh pelitup muka kain elak jangkitan bibir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kajian menunjukkan terdapat jutaan bakteria yang boleh hidup dalam pelitup muka yang lembap dan panas yang digunakan sepanjang hari. – The Sun

LONDON – Orang ramai yang memakai pelitup muka jenis kain dinasihatkan untuk membasuhnya setiap kali selepas digunakan bagi mengelakkan jangkitan pada bibir, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Seorang pegawai perubatan, Dr. Ranj yang memberi peringatan tersebut berkata, disebabkan kulit bibir manusia nipis, terdapat risiko berlakunya  jangkitan kulat, manakala mulut juga akan kering atau merekah.

Ini kerana kajian menunjukkan berjuta-juta bakteria boleh hidup dalam pelitup muka  lembap dan panas yang digunakan sepanjang hari.

“Selain itu, anda juga perlu melihat material pelitup muka tersebut. Fabrik sintetik adalah lebih kasar terhadap kulit berbanding jenis semula jadi.

“Saya melihat ramai wanita memakai pelitup muka berganda yang dilapik dengan kain sutera di bawah pelitup muka biasa untuk mengelakkan keradangan pada bibir mereka,” katanya.

Selain itu, Ranj turut memberikan tips pemeriksaan sendiri untuk memastikan bibir berada dalam keadaan sihat.

“Pertama sekali, tekan jari pada bahagian bibir anda dan alihkannya. Ia sepatutnya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk warnanya kembali kepada asal.

“Kedua, bibir anda perlu berasa panas jika disentuh sekiranya berada di tempat tertutup. 

“Jika berasa sejuk, anda mungkin mengalami masalah peredaran darah dan jika berasa sakit, sila dapatkan pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

Tambah Ranj, jika terdapat perubahan secara tiba-tiba pada corak warna bibir di kawasan tertentu, sama ada lebih gelap atau terang, individu tersebut perlu berjumpa doktor.

“Akhir sekali, perhatikan pada bahagian luar garisan bibir. Anda tidak sepatutnya mempunyai sebarang rekahan pada garisan tersebut,” ujarnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN