ATAMI, JEPUN – Dua maut manakala 20 lagi dilaporkan masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah resort kolam air panas di Atami, Jepun, semalam.
Kejadian yang berlaku akibat hujan lebat tanpa henti selama beberapa hari itu turut memusnahkan banyak kediaman di kawasan pinggir bukit.
“Operasi menyelamat disambung pada awal pagi ini dengan kira-kira 1,000 anggota penyelamat termasuk 140 tentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kami sedang mencuba yang terbaik untuk mencari mangsa yang terselamat secepat mungkin dalam keadaan operasi yang dilakukan secara berhati-hati kerana masih hujan,” kata seorang pegawai wilayah Shizuoka.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Chieko Oki, ketika kejadian tanah runtuh, tiang-tiang elektrik besar dilihat bergoyang di semua tempat.
“Saya tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, dan kemudiannya kelihatan tanah runtuh termasuk di jalan-jalan. Saya amat takut,” ujarnya.
Setakat ini, anggota penyelamat masih menjalankan operasi dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Kebanyakan kenderaan, kediaman, harta benda dan bangunan turut musnah ditenggelami lumpur selain sebanyak 2,800 kediaman turut mengalami gangguan elektrik.
Sebahagian besar Jepun kini dilanda musim hujan yang dijangka berlarutan selama beberapa minggu dan kebiasaan akan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. – AFP