fbpx

10 pemain Brazil tumbangkan Chile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAQUETA (kanan) menjadi wira Brazil apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Chile untuk mara ke separuh akhir. – AFP

RIO DE JANEIRO – Penyandang juara, Brazil berjaya melayakkan diri ke saingan separuh akhir Copa America 2021 selepas me­nundukkan Chile 1-0 dengan 10 orang pemain pada aksi di Estadio Olimpico Nilton Santos pagi semalam.

Gol tunggal perlawanan itu berjaya dijaringkan oleh Lucas Paqueta pada minit ke-47, namun Brazil terpaksa beraksi dengan 10 pemain dua minit selepas itu apabila Gabriel Jesus dilayangkan kad merah.

Paqueta berjaya melepaskan rembatan menarik melepasi jangkuan Claudio Bravo untuk membawa Brazil mara tetapi malang buat Jesus apabila di­arah meninggalkan padang selepas tertendang pemain Chile, Eugenio Mena.

Pemain pertahanan, Thiago Silva mengakui rakan-rakannya di benteng pertahanan telah be­kerja keras dan melakukan tugas dengan baik mengekang asakan Chile.

“Barisan pemain pertahanan telah mempamerkan karakter masing-masing. Biarpun kami hanya bermain dengan 10 pemain, kami masih mampu untuk mencipta beberapa peluang, saya bangga dengan semangat yang ada pada pemain,” katanya.

Paqueta dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan Ro­berto Firmino ketika perlawanan berlangsung sengit di babak pertama selepas kedua-dua pasukan memiliki peluang terbaik.

Sementara itu, Neymar me­ngakui ia adalah aksi yang sangat memenatkan apabila mereka terpaksa bermain lebih 40 minit de­ngan 10 pemain tetapi berpendapat bahawa ia adalah ujian yang baik untuk pasukan itu.

“Kunci kemenangan kami adalah kerana berjaya mengekalkan penguasaan bola. Setiap perlawanan kami perlukan ujian untuk menjadikan kami lebih kuat.

“Aksi kali ini telah membuktikan bahawa kami memiliki kekuatan mental dan fizikal. Kami bersama-sama mengharungi cabaran ini walaupun ia agak sukar,” jelasnya.

Brazil bakal bertemu Peru yang menundukkan Paraguay pada aksi separuh akhir nanti yang berlangsung pagi Selasa ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI