fbpx
UYAINA ARSHAD

Uyaina jaga aurat, jaga sentuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH seni Uyaina Arshad sememangnya bermula dalam bidang pengacaraan sementelah dia merupakan juara pertandingan Pencarian Nona Manis pada 2015, namun kini sejak tiga tahun kebelakangan ini, namanya laris menghiasi dunia lakonan.

Bermula dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan (2018) sehingga Perempuan Tanpa Dosa (2020), momentum Uyaina sebagai pelakon nampaknya semakin rancak.

Terbaharu, Uyaina mencuri perhatian khalayak menerusi karya Love, Elsa lakonannya di samping aktor popular Zul Ariffin yang kini sedang bersiaran menerusi saluran Astro Ria.

Akui Uyaina sebaik mendapat tahu akan bergandingan dengan Zul Ariffin dalam drama arahan Michael Ang itu, dia berasa begitu gugup kerana menyifatkan dirinya masih terlalu mentah.

“Saya berbesar hati tetapi dalam masa yang sama takut juga untuk masuk ke set penggambaran kerana buat pertama kalinya bergandingan dengan Zul Ariffin.

“Ikutkan perasaan gementar, hendak berbual dengannya pun saya takut (ketawa).

WATAK Ammara lakonan Uyaina dalam drama Love, Elsa cukup unik kerana mempunyai kuasa untuk melihat memori orang lain apabila bersentuhan dengannya. – CURICURIKLIK

Sentuhan

“Alhamdulillah, pengarah Michael Ang memudahkan dan membuatkan semua yang bekerja dengannya berasa selesa.

“Rupa-rupanya selepas mengenali Zul, dia seorang yang suka mengusik. Jadi mudah untuk mencipta keserasian apabila berlakon,” kongsi Uyaina.

Sungguhpun bakatnya sebagai pelakon semakin diterima, tegas Uyaina sebagai Muslimah dia masih berpegang kepada prinsip untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki.

Ujar wanita berusia 29 tahun itu, meski terlihat sukar untuk menjaga batasan berkenaan dalam lakonan, Uyaina amat bersyukur kerana pengarah dan pelakon lain dalam drama Love, Elsa amat menghormati pendiriannya.

“Watak saya dalam drama Love, Elsa bernama Ammara seorang gadis yang pelik kerana mempunyai kuasa istimewa.

“Setiap kali Ammara bersentuhan dengan orang, dia akan mendapat memori orang yang disentuhnya. Jadi, watak saya perlu menyentuh orang.

“Namun, menariknya setiap kali babak bersentuhan Michael amat bijak menggunakan teknik kamera. Dalam televisyen kelihatan bersentuhan, tetapi sebenar­nya tidak.

“Perkara tersebut amat membantu pelakon-pelakon berhijab yang mempunyai kebimbangan tentang isu bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Apa yang saya lihat perkara ini memberi satu semangat baharu buat pelakon berhijab. Ada banyak cara yang boleh dilakukan tanpa bersentuhan.

Zul juga sangat fleksibel dan membuatkan saya berasa selesa sepanjang penggambaran,” tutur Uyaina yang juga seorang pengacara program Wanita Hari Ini.

SEBAGAI seorang individu yang tidak pernah menyelam, Uyaina mengakui mengambil masa selama dua jam semasa melakukan penggambaran babak introduksi drama Love, Elsa di dalam tangki Marine Tunnel Underwater World Langkawi.

Fesyen

Bercakap mengenai cabaran, selain pandemik Covid-19 yang banyak mengganggu jadual penggambaran drama selama 65 hari, fesyen watak Ammara paling tidak boleh dilupakan Uyaina.

Meskipun fesyen yang digayakan Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad dalam Love, Elsa terlihat segar dan berbeza daripada kebanyakan drama Melayu, namun perkara tersebut bukan mudah.

Tidak hanya menyarungkan pakaian dan hijab yang berlapis-lapis, bahkan penata gaya drama ini, Abu Shaef Hamza turut menempah khas 18 sarung tangan berbeza warna untuk disesuaikan dengan setiap penampilan Ammara.

“Bayangkan penggambaran kebanyakannya dilakukan di Pulau Langkawi, Kedah dengan cuaca panas saya perlu menyarungkan pakaian berlapis-lapis. Anak tudung, tudung, seluar legging, gaun, kot, sarung tangan dan kasut but potongan tinggi.

“Sepanjang berlakon ini adalah kali pertama saya berfesyen sebegini. Memang nampak pelik, tetapi itulah gaya yang dicipta khas untuk watak Ammara yang sememangnya agak aneh.

“Saya tidak kisah tentang penerimaan penonton kerana terpulang pada pandangan masing-masing,” kata Uyaina.

Biarpun fesyen dalam drama Love, Elsa menjadi perhatian, Uyaina secara peribadi bagaimanapun tidak akan memakai gaya sedemikian di luar dari set penggambaran.

Selain bukan gaya kebiasaannya, cuaca Malaysia yang panas juga tidak mengizinkannya untuk berfesyen sedemikian rupa sebagai gaya harian.

“Jika mahu ke sebarang acara dan mahu kelihatan lebih menyerlah daripada orang lain, gaya watak Ammara itu mungkin yang akan saya pakai, tetapi bukanlah untuk gaya harian. Sebaik habis penggambaran, saya bersyukur sangat kerana tidak perlu pakai berlapis-lapis lagi (ketawa).

“Ammara merupakan karakter yang akan saya ingati bukan sahaja kerana jalan cerita dan wataknya, tetapi juga pema­kaiannya,” luah Uyaina.

Menyambung bicara tentang Love, Elsa antara cabaran lain yang tidak boleh dilupakan Uyaina adalah penggambaran pembukaan drama (opening montage) di dalam tangki Marine Tunnel Underwater World Langkawi.

MOMENTUM karuer lakonan Uyaina yang bermula dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan (2018) kini semakin rancak.

Menurutnya, penggambaran tersebut cukup mencabar sehingga memakan masa selama dua jam. Walhal Zul hanya memerlukan masa sekitar 20 minit untuk me­nyiapkan babak tersebut.

“Pertama saya tidak pernah menyelam, kedua saya memakai gaun yang sarat dan ketiga saya panik kerana terdapat ikan di keliling saya. Satu pengalaman baru dan tidak sangka saya bersetuju untuk melakukannya.

“Saya menangis kerana hampir dua jam Michael masih tidak dapat apa yang dimahukan. Zul yang memang sudah biasa menyelam memberi semangat dan meminta saya bertenang. Alhamdulillah, penggambaran tersebut akhirnya berjaya dilakukan,” tutur Uyaina.

Bergandingan dengan Zul Ariffin dalam sebuah karya mungkin satu pencapaian terbesar buat Uyaina, bagaimanapun aktor popular itu juga mempunyai reputasi skandal yang bukan sedikit.

Ditebak, tidakkah kekasih hati Uyaina, Raja Syahiran yang juga seorang penyanyi mencemburui gandingan mereka.

Tertawa dengan soalan tersebut, jelas anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, perkara berkenaan tidak pernah menjadi isu dalam hubungan mereka.

UYANA mengakui gementar saat mengetahui bakal digandingkan dengan Zul Arifin buat pertama kalinya dalam sebuah drama bersiri.

Cemburu

“Sebelum mengenalinya saya sudah pun mula berlakon. Dia memahami karier saya dan selama ini memang tidak ada sebarang masalah sungguhpun hero saya ialah Zul Ariffin.

“Saya selesa sepanjang bekerja dengan Zul yang saya panggil abang kerana usianya yang jauh lebih tua.

“Memang tiada apa-apa perkara pelik berlaku sepanjang penggambaran. Kami berdua menjalankan tugas secara profesional,” kata Uyaina.

Saat disoal tentang perkahwinan, Uyaina hanya mampu ketawa panjang. Akuinya, sebagai pasangan bercinta, sudah tentu mereka ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga, namun bukanlah dalam waktu yang terdekat.

“Kami berdua sedang sibuk dengan kerjaya masing-masing ditambah dengan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini masuk fasa diperketatkan (PKPD), rasanya sekarang bukanlah masa yang sesuai.

“Rasanya bukan dalam waktu yang terdekat. Jika ada tarikhnya saya akan beritahu,” jelas Uyaina yang telah dirisik keluarga kekasihnya pada November tahun lalu.
Berkongsi tentang perkembangan terbaharu kerjayanya, Uyaina sepatutnya kini sedang berada di set penggambaran drama Kau Cinta Kasih untuk slot Samarinda.

Disebabkan oleh PKP dan PKPD, penggambaran yang baru berjalan sebanyak 30 peratus itu terpaksa ditunda.

“Selain itu, saya juga akan mengacarakan, Nona Super Women yang merupakan program pencarian ahli perniagaan wanita berjaya dan sebuah telefilem Siapa Tutup Lampu untuk siaran Astro First,” katanya.

POPULAR