GEORGE TOWN – Satu sindiket memproses dan mengedar pil ekstasi tumpas selepas polis melakukan serbuan di empat lokasi di sekitar bandar raya ini selama dua hari sehingga semalam.
Selain sejumlah dadah bernilai hampir RM400,000 yang dirampas, serbuan terbabit turut menahan empat individu termasuk seorang wanita warga asing berusia 29 hingga 42 tahun disyaki ahli sindiket.
Mereka terdiri daripada peniaga durian, peniaga makanan dan peniaga barangan antik, manakala suspek wanita tidak bekerja.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sindiket itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berusia 29 tahun di hadapan sebuah rumah teres di Sungai Pinang bersama sejumlah dadah termasuklah pil erimin 5, serbuk MDMA, ketamin, ganja dan pil ekstasi.
“Selepas itu, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun di Jalan Perak dan menemui sejumlah pil erimin 5 yang berada di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra.
“Kemudian, kita berjaya menahan seorang wanita warga asing berusia 32 tahun bersama peralatan memproses pil ekstasi dan sejumlah dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bukit Gambir,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, rampasan berkenaan membabitkan 1,470 biji pil erimin 5, 6.2 kilogram (kg) serbuk MDMA, 23 gran (g) syabu, 1.5 g ketamin dan 11 g ganja dianggarkan bernilai RM398,352.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit yang dikatakan aktif sejak awal tahun ini dipercayai memasarkan pil ekstasi di pasaran tempatan.
“Suspek warga asing dipercayai teman wanita dalang sindiket berusia 42 tahun.
“Siasatan turut mendapati dua suspek termasuk dalang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kedua-dua mereka turut positif ujian saringan air kencing,” katanya lagi.
Mustafa Kamal Gani berkata, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Selasa ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














