fbpx

JDT rebah lagi dek penangan Pohang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI (kiri) cuba melepaskan diri daripada dikawal pemain Pohang pada perlawanan peringkat Kumpulan G, ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok petang semalam. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengulangi skrip sama apabila tewas sekali lagi kepada wakil Korea Selatan, Pohang Steelers dengan keputusan 0-2 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.

Pada aksi di Stadium Rajamangala itu, skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora membariskan kesebelasan terbaik dalam usaha membalas dendam atas kekalahan 1-4 kepada Pohang, Isnin lepas.

JDT mempertaruhkan jentera serangan terdiri daripada penyerang import, Bergson da Silva dan Safawi Rasid.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang pada awal saingan dengan JDT terlebih dahulu meraih peluang keemasan tetapi rembatan percuma yang dilakukan oleh Safawi terkena palang gol pada minit ke-16.

Namun, kekebalan benteng JDT tidak bertahan lama apabila akhirnya dibolosi hasil gerakan cantik dilakukan oleh Pohang yang berjaya disudahkan oleh Lee Seung-mo pada minit ke-33.

Momentum tersebut diteruskan skuad Kim Gi-dong untuk menambah jaringan menerusi ledakan Kang Sang-Woo yang bijak menyudahkan hantaran Borys Tashchy berselang empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad JDT memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh untuk digantikan dengan Bergson serta Safawi.

Namun, Pohang kekal mendominasi saingan dan dilihat memiliki rentetan peluang keemasan tetapi penjaga gol JDT, Farizal Marlias tangkas mengawal gawangnya daripada dibolosi buat kali ketiga.

Peluang terbaik JDT pada babak kedua hadir menerusi gerakan cantik pemain muda, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-78 tetapi hantarannya gagal disudahkan oleh De Paula dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan hasrat JDT untuk mara ke pusingan kalah mati hampir terkubur selepas hanya mengutip tiga mata daripada empat perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI