fbpx

Sindiket edar ganja tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fakhrudin (tengah) menunjukkan barangan rampasan selepas siang akhbar di IPD Petaling Jaya

PETALING JAYA – Sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan selepas penahanan empat lelaki dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan pertama berjaya menahan dua lelaki di dalam sebuah kereta jenis Peugeot kira-kira pukul 2 petang di kawasan parkir sebuah pasar raya di Taman Maju Jaya di sini.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui satu beg galas berisi dadah jenis ganja seberat kira-kira 1 kilogram selain merampas wang tunai RM5,000.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai sedang berurusan jual beli dadah ketika ditahan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pada hari yang sama kira-kira pukul 6.15 petang, soal siasat kedua-dua suspek berjaya memberkas dua lagi rakan sejenayah di sebuah pangsapuri di Taman Pasir Permata di sini yang dijadikan tempat pembungkusan dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemui lapan ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 5.2 kg, papan pemotong, alat penimbang, pisau pemotong, gunting, pita pelekat dan botol kaca.

“Kita juga telah menyita sebuah kereta jenis Kia Forte dan Yamaha 135 LC,” katanya.

Tambahnya, pihaknya percaya jumlah kesemua rampasan dadah bernilai RM22,943.70 itu mampu dibekalkan kepada 6,200 orang penagih.

“Siasatan polis mendapati kumpulan ini aktif mengedar dadah ganja sejak tahun lalu dengan mendapatkan bekalan daripada sindiket sebelum dibuat pembungkusan semula.

“Siasatan masih dijalankan untuk memburu dua lagi rakan suspek,” katanya.

Kesemua suspek berusia 28 hingga 32 tahun itu telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI